MAYAT mangsa dikeluarkan dari lokasi kejadian. FOTO Danial Saad
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


MENYEDIHKAN apabila tiga mangsa ditemui masih berdiri dengan memegang besi cerucuk, manakala mayat seorang lagi terbaring selepas mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Lost Paradise Resort, Tanjong Bungah, Georgetown, malam tadi.

Malah, ada juga mangsa yang masih melekat di besi cerucuk dalam longkang yang dalam pembinaan untuk membuat tembok penghadang jalan di resort itu hingga menyukarkan kerja-kerja mengeluarkan mayat kerana ia terpaksa dilakukan dengan berhati-hati.

Bagaimanapun, selepas hampir enam jam, semua empat mayat itu berjaya dikeluarkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang bertungkus-lumus melakukan kerja berikutan longkang terbabit dipenuhi besi cerucuk.

Kejadian jam 9.25 malam itu dikatakan berlaku dengan pantas hingga membuatkan semua mangsa yang ketika itu sedang tekun bekerja tidak sempat melarikan diri selepas tertimbus dalam longkang sedalam 4.5 meter.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan mendapati semua mangsa melakukan kerja untuk membina tembok penghadang tanah di resort, sejak seminggu lalu.

“Pemilik resort berkenaan sudah menyedari ada berlaku pergerakan tanah di kawasan terbabit sejak seminggu lalu dan seorang daripada mangsa yang dikenali sebagai Ong menawarkan khidmat untuk membuat kerja membina tembok penghadang itu.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang dikenali sebagai Ong itu sudah tiga tahun bekerja sebagai penyelenggara dan akan melakukan kerja-kerja pembaikan jika ada sebarang kerosakan di resort berkenaan,” katanya.

Che Zaimani berkata, mangsa juga menawarkan diri kepada pemilik resort untuk melakukan projek pembinaan tembok penghadang berkenaan dengan kadar upah sebanyak RM400 sehari dan kerja itu akan dilakukan selama 20 hari.

“Selepas bersetuju menerima projek terbabit, mangsa mengajak tiga lagi rakan senegaranya dan mereka sudah memulakan kerja berkenaan sejak seminggu lalu.

“Hasil keterangan daripada doktor yang juga pemilik resort itu, dia mendakwa hanya mengenali Ong manakala tiga lagi mangsa tidak dikenalinya,” katanya.

Menurutnya, ketika runtuhan tanah itu berlaku, tukang kebun resort terbabit yang sedang menyiram pokok terdengar dentuman sebelum dia melihat tembok yang sedang dibina runtuh.

Berita berkaitan

Mangsa bina tembok penahan tanah

'Empat pekerja dikhuatiri tertimbus'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 11:31 AM