STATUS yang dimuat naik Baranin di Facebook miliknya.
LJUBA Baranin.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Diugut tidak akan dibayar gaji, malah menghantar lima individu tidak dikenali untuk memaksa menandatangani surat perjanjian berkaitan tunggakan gaji.

Itu antara situasi yang melanda pemain import dari Serbia, Ljuba Baranin dengan kelab Liga M3, Batu Dua FC hingga dia mula hilang sabar dengan membongkar satu persatu masalah yang melanda pasukan terbabit.

Baranin ketika dihubungi Arena Metro memaklumkan, pendedahan terbabit dilakukan apabila pihak pengurusan mula mengambil tindakan luar batasan dengan mengugut rakannya sebelum ini.

Pernah menyarung jersi Kuantan FA, Baranin berkata, demi keselamatan diri dan rakannya, dia terpaksa menuruti permintaan itu walaupun melihat jumlah bayaran tunggakan gaji tidak setimpal.

“Dalam situasi terbabit tidak banyak yang boleh lakukan walaupun saya tidak gentar dengan ugutan itu namun demi keselamatan rakan, terpaksa menurutinya.

“Mereka sepatutnya membayar saya RM40,000 mengikut jumlah tunggakan gaji namun hanya terima RM11,000 dan apabila mempersoalkan perkara itu, individu terbabit menguggut dan memarahi pula.

“Itu belum lagi janji pihak pengurusan yang mahu membayar ansuran kenderaan, rumah sewa dan menguruskan permit pekerjaan namun semuanya tiada,” katanya, di sini.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan tonggak import Batu Dua FC itu meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap seorang kenamaan (VIP) bergelar Datuk yang juga penaja utama kelab itu musim ini.

Menerusi luahan Baranin di laman Facebook miliknya, dia mengakui menerima layanan buruk daripada VIP itu, selain menerima cek palsu untuk bayaran gajinya.

Katanya, dia gembira berjaya keluar daripada pengurusan pasukan itu yang disifatkannya seperti neraka dan binatang terutama terhadap pemain import.

Mengulas lanjut, Baranin turut menjelaskan dia tidak sempat membuat laporan polis berkaitan perkara terbabit termasuk menerima cek tendang berikutan perlu meninggalkan negara ini segera kerana masalah permit kerja.

“Tidak menerima gaji hampir setahun dengan Kuantan FA dan terbaru Batu 2 FC pula, saya sudah serik untuk bermain bola di negara ini dan akan mencari kelab lain di Serbia.

“Namun, apa yang saya lebih kasihan melihat nasib pemain tempatan di Batu 2 FC apabila mereka berada dalam keadaan takut untuk menyatakan hal sebenar kerana diugut oleh individu itu.

“Oleh itu, saya akan bawa perkara ini hingga ke peringkat lebih tinggi seperti Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi memastikan individu terbabit dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 7:00 AM