KENDERAAN yang dinaiki Ahmad Zahid meninggalkan Ibu Pejabat SPRM, semalam.
Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berdepan pertuduhan kes menerima wang sogokan daripada sebuah syarikat swasta di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, esok sebelum dituduh di Mahkamah Shah Alam, Khamis ini.

Ahmad Zahid berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sumber memberitahu Harian Metro bahawa Ahmad Zahid didakwa kerana menyalahkan gunakan kedudukannya untuk menerima wang sogokan bagi kegunaan peribadi daripada syarikat swasta yang diberi hak eksklusif mengendalikan kemasukan pelancong China ke negara ini.

“Kami sudah selesai merakam percakapan beliau sebelum memberikan notis untuk hadir di mahkamah.

“Ahmad Zahid akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur pada Rabu. Keesokannya (Khamis) beliau akan dituduh di Mahkamah Shah Alam,” kata sumber yang dekat dengan siasatan terbabit.

Sumber itu turut mendedahkan, selain Ahmad Zahid, beberapa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga akan menghadapi pertuduhan sama.

“Pegawai JIM akan dituduh selepas ini dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan kereta Toyota Vellfire membawa Presiden UMNO itu memasuki Ibu Pejabat SPRM pada jam 9.30 pagi semalam.

Skuad Khas Harian Metro dimaklumkan, urusan merekod kenyataan Ahmad Zahid oleh pegawai penyiasat daripada Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM bermula jam 10.30 pagi.

Ahmad Zahid meninggalkan pejabat SPRM jam 12.30 tengah hari.

Wartawan daripada semua media ‘berkampung’ di hadapan Ibu Pejabat SPRM sejak awal pagi, semalam.

Untuk rekod, penyelewengan membabitkan syarikat terbabit mula didedahkan Harian Metro melalui laporan eksklusif bertajuk ‘Beruk Boleh Mohon’ pada 14 November 2018 yang mana wartawan akhbar ini ke Guangzhou, China bagi melihat operasi dilakukan syarikat terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:30 AM