Rafidah Mat Ruzki
am@hmetro.com.my


PELABUHAN KLANG: Selepas empat tahun beroperasi secara haram, sebuah kilang memproses bahan buangan plastik di sini, akhirnya tidak mampu meneruskan operasi selepas bekalan elektrik ke premis berkenaan dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.

Tindakan terhadap kilang itu dipercayai kali pertama dilakukan terhadap premis memproses bahan buangan plastik yang beroperasi tanpa mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mendapat kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) dan TNB.

Difahamkan, ia susulan tindakan MPK minggu lalu yang memohon kelulusan ST memotong bekalan elektrik bagi mengelakkan kilang itu meneruskan operasinya walaupun menerima notis sita oleh pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Perlesenan MPK, Fharulisa Md Isa berkata, pihaknya sudah lima kali melakukan operasi dan mengambil tindakan termasuk menyita premis di Kawasan Perindustrian Air Hitam, Pelabuhan Klang, selain memberi nasihat kepada pengusahanya supaya menutup operasi.

Beliau berkata, operasi terakhir dilakukan di premis itu Rabu minggu lalu namun pengusahanya tetap ingkar dan berdegil apabila meneruskan operasinya hingga diserbu, pagi semalam.

“Ketika serbuan, kilang itu masih beroperasi namun pekerjanya yang dipercayai warga asing tanpa izin melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Sebenarnya ada enam kilang memproses bahan buangan plastik beroperasi di kawasan ini, tetapi kilang lain sudah menghentikan operasi selepas diserbu kecuali kilang ini.

“Hari ini kita mendapat kerjasama TNB yang memotong bekalan elektrik di kilang yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah ini,” katanya.

Fharulisa sebelum itu mengetuai operasi bersama TNB ke kilang berkenaan bersama wakil media.

Beliau berkata, pihaknya sudah memulakan tindakan untuk mendakwa pengusahanya di mahkamah.

Selain itu, katanya, pihaknya akan meminta bantuan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk memotong bekalan air di premis berkenaan.

Sementara itu, dalam tinjauan di premis berkenaan mendapati bungkusan beg plastik besar berisi bahan buangan plastik belum dan sudah diproses ditempatkan di dalam dan sekitar kawasan kilang itu.

Selain bungkusan plastik itu, ada beberapa mesin yang dipercayai digunakan untuk mengisar bahan buangan plastik dari negara luar termasuk Jepun untuk menjadi kepingan kecil.

Pada masa sama, kilang itu juga berbau busuk, dipercayai dari lima kolam berisi air berwarna perang kehitaman di bahagian belakang premis.

Turut dibina di bahagian belakang kilang ialah rumah kongsi dipercayai didiami pekerjanya, dilengkapi katil bujang dan dapur serta perkakasan elektrik termasuk peti sejuk dan periuk nasi elektrik.


KILANG haram yang lengang selepas bekalan elektrik dipotong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:00 AM