ANGGOTA Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan pemeriksaan bacaan kualiti udara di Sekolah Agama Taman Mawar, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein dan Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


PASIR GUDANG: “Pasir Gudang sudah tidak selamat ke?” kata penduduk, Asiran Abu Talib, 57, berhubung insiden pencemaran bau yang menjejaskan lebih 20,000 pelajar dari 14 sekolah sejak Khamis lalu.

Tinjauan Harian Metro di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, SK Pasir Putih, SMK Taman Megah Ria, SMK Tanjung Puteri Resort dan SK Pasir Gudang 2 mendapati pelajar pulang ke rumah masing-masing selepas mendapat arahan sesi persekolahan ditangguhkan bermula jam 9 pagi.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 45 pelajar terjejas dan guru kelihatan sibuk menguruskan pergerakan pelajar dengan memakai penutup hidung dan mulut.

Asiran yang menetap di Taman Pasir Putih berkata, kejadian berlarutan menimbulkan kerisauan memandangkan hingga kini penduduk tidak tahu punca sebenar kejadian itu hingga menjejaskan pelajar.

“Saya tidak faham mengapa simptom itu berlaku kepada murid saja, tambahan pula ramai kalangan penduduk adalah golongan dewasa yang tinggal di kawasan perindustrian berat ini.

“Masih ada ibu bapa yang lambat dimaklumkan mengenai keadaan anak mereka walaupun sekolah sudah mula kosong.

“Tidak wajar sekolah tutup sampai empat hari dan kesudahannya tiada maklumat mengenai punca kejadian,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Normah Ahmad, 63, berkata, perniagaan makanan dibuka seperti biasa kerana belum mendapat notis daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi penutupan premis.

“Ia secara tidak langsung akan menjejaskan perniagaan yang saya usahakan lebih 10 tahun seandainya perlu berpindah dari sini.

“Saya mohon pihak berwajib mengambil serius dan mencari punca pencemaran udara itu kerana penduduk kini dalam kebimbangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 5:30 AM