Pengawal keselamatan memasang notis pemberitahuan mengenai penutupan sekolah di pintu pagar selepas berlaku pencemaran udara di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Damai, Pasir Gudang. Foto Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein dan Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


SEMUA institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terletak dalam kawasan Pasir Gudang ditutup sehingga Khamis ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Azman Adnan berkata, tindakan penutupan itu dilaksanakan susulan insiden gangguan kesihatan pelajar di kawasan berkenaan.

“Sebanyak 111 sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi dan 14 sekolah swasta serta antarabangsa, selain 347 tadika swasta yang berdaftar dengan jabatan ditutup mulai esok (25 Jun) hingga 27 Jun.

“Ia bagi membolehkan kerja berkaitan mengatasi isu bahan punca pencemaran dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azman berkata, semua pengetua dan guru besar diminta memaklumkan segera kepada semua murid, guru, ibu bapa serta kakitangan dalam kawalan mereka serta mengambil tindakan susulan berkaitan pencemaran itu.

“Jabatan akan sentiasa membuat pemantauan rapi dan membantu sekolah bagi memastikan kesejahteraan murid serta pelajar berada dalam keadaan yang terbaik.

“Marilah kita bersama mendoakan supaya insiden ini dapat diatasi segera dan sekolah akan dapat beroperasi seperti biasa demi kebaikan murid,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 11:34 PM