RADHI OAG pada Konsert Minggu Ini bersama OAG di Angkasapuri.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


HAMPIR 27 tahun bersama dalam memartabatkan muzik yang mereka bawa walaupun ahli kumpulan sering bertukar ganti, namun ia sedikit pun tidak melenyapkan jenama kumpulan OAG.

Tampil dengan Konsert OAG Slumber Yaya di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur malam kelmarin, ia sedikit sebanyak mengubat rindu peminat terhadap kumpulan yang mempertaruhkan muzik rock alternatif ini.

Konsert berkenaan disiarkan secara langsung menerusi program Konsert Minggu Ini di TV2.

Konsert yang bermula pada jam 9 malam itu dimulakan dengan persembahan lagu Now Why 2.

Dianggotai Radhi (penyanyi), Qi (dram), Yen (bass) dan Ammal (gitar), OAG turut teruja apabila melihat pelajar dari tiga sekolah menengah di sekitar Lembah Klang yang dijemput hadir begitu ‘sporting’ menyanyikan lagu mereka bersama-sama.

Ternyata sasaran mereka untuk menarik anak muda dan generasi masa kini untuk meminati lagu OAG berjaya.

Berkongsi perkara itu, Qi yang mewakili OAG berkata, mereka gembira dan berharap lagu yang dipersembahkan terus menjadi kegemaran semua.

“Generasi sekarang tidak ramai yang tahu lagu OAG, mungkin juga ada yang tidak tahu siapa OAG. Kami berharap dengan konsert ini dan kehadiran pelajar ini dapat memberi sedikit maklumat mengenai OAG.

“Kami juga teruja apabila melihat mereka terhibur dan sakan menari dengan lagu yang kami persembahkan,” katanya.

Walaupun pelbagai genre muzik dilihat wujud sekarang, ia tidak mengubah pendirian OAG untuk kekal dengan muzik yang dibawa.

“Kami mahu identiti muzik OAG ini terus dikekalkan walaupun ramai generasi sekarang mungkin tidak tahu. Ia bukan halangan untuk kami terus memperjuangkan muzik yang dibawa.

“Kami yakin ada daripada mereka yang suka akan muzik yang dipersembahkan OAG. Kami anggap konsert ini sebagai ‘comeback’ daripada OAG,” katanya.

Apa yang menarik, pada konsert berkenaan OAG turut menyanyikan lagu baharu mereka berjudul Infiniti yang akan dilancarkan pada Ogos ini.

“Kali terakhir kami menyanyi bersama pada 2017. Konsert ini sebagai pembukaan untuk kami tampil mempromosikan lagu baharu di samping siri jelajah di beberapa universiti yang akan diadakan nanti.

“Kami memilih universiti kerana mahu anak muda sekarang mengenali lagu OAG dan kenal siapa kami,” katanya.

Konsert yang berakhir pada jam 10.30 malam itu turut diserikan dengan persembahan duet bersama artis jemputan iaitu Datin Diana Danielle dan Arif Bahran.

Berkongsi mengenai pemilihan mereka berdua, Qi berkata, mereka sengaja mahukan kelainan dan yakin tidak ramai yang tahu Diana juga boleh menyanyi.

“Orang hanya tahu Diana seorang pelakon dan mereka tidak tahu Diana juga punya bakat dalam nyanyian. Arif pula kerana kami yakin dia mempunyai ramai peminat dalam kalangan generasi sekarang secara tidak langsung ia membawa mereka untuk sama-sama mengenali kami,” katanya.

Antara lagu lain yang dipersembahkan ialah Beautifool, Knocked Silly, Snowball, Name of The Game, Sentuhan, Venusia, For Whatever, Akustatik, Slumber, Permysuri, Biru dan Generasiku.


RADHI bersama pelakon, Diana Danielle di Angkasapuri. FOTO/NURUL SHAFINA JEMENON

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:15 AM