PEGAWAI KPDNHEP memeriksa pelbagai baju tiruan yang dirampas dari sebuah premis di Jalan Kenanga.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kaut keuntungan berjuta ringgit sejak hampir 10 tahun lalu hingga mampu bergelar ‘jutawan.’ Itu antara aktiviti seorang peniaga tempatan yang aktif menjual pelbagai pakaian berjenama terkemuka tiruan untuk pasaran seluruh negara.

Malah keuntungan lumayan dikecapi membolehkan suspek menggaji enam pekerja warga asing untuk menguruskan perniagaan haram dijalankan.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rosli Ahmad berkata, lelaki warga tempatan berusia 40-an itu dikesan menjadi pemborong utama pakaian berjenama terkemuka tiruan di kawasan perniagaan Jalan Kenanga di sini.

Menurutnya, lelaki itu mempunyai pelanggan di seluruh Malaysia hasil aktiviti pemasaran dalam talian selain tempahan melalui aplikasi WhatsApp.

“Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar pihak KPDNHEP yang menyerbu premis suspek jam 12.30 tengah hari semalam.

“Siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan baju tiruan itu dari Bangladesh dan China. Ada sebahagian baju jenama terkemuka tiruan itu dihasilkan di luar negara selain ada antaranya dicetak di Malaysia,” katanya.

Dalam operasi membabitkan 14 anggota penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya bersama wakil pemilik cap dagang menyerbu premis pemborong pakaian itu.

“Hasil pemeriksaan itu, sejumlah 13,056 helai pakaian tiruan dianggarkan bernilai RM355,980 disita.

“Pemilik premis dan enam pekerjanya warga Bangladesh dan Myanmar ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 atas kesalahan mendedah, membekal dan menyimpan sejumlah barangan yang disyaki menggunakan perihal dagangan palsu,” katanya.

Dia berkata, suspek boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang menggunakan perihal dagangan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 5:31 AM