BERKAT kerja keras
REEN Rahim mengecapi kemanisan bergelar anak seni
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


TUJUH tahun membina nama dan melalui fasa jatuh bangun dalam bidang lakonan, akhirnya Reen Rahim mengecapi kemanisan bergelar anak seni. Semuanya kerana watak Kak Su yang ‘kepoh’ dalam drama bersiri popular Pujaan Hati Kanda (PHK) yang tular dan memberi impak kepada penonton sejak bersiaran di Slot Akasia TV3 sebelum ini.

Reen, 31, atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim mengakui semuanya berkat kerja keras dan keikhlasannya dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah, syukur akhirnya Allah makbulkan doa saya untuk dikenali kerana bakat yang dipertaruhkan dan bukan kontroversi mahupun publisiti murahan.

“Saya berlakon bukan untuk kejar anugerah tapi kerana minat mendalam sejak kecil. Jadi, saya tidak letak sasaran sampai bila saya akan terus berlakon kerana akan berasa rindu ke lokasi jika sebulan tidak berlakon,” katanya.


REEN Rahim lali dengan kecaman. FOTO: Mahzir Mat Isa

Jika nak diikutkan, sudah puluhan drama termasuk filem serta macam-macam watak pernah dilakonkan Reen sebelum ini.

“Namun, watak Kak Su dalam PHK yang tular sekali gus menaikkan nama saya dalam bidang lakonan. Ke mana saja saya pergi, peminat masih memanggil saya Kak Su sampai sekarang,” katanya.

Pelakon yang digilap menerusi program realiti Pilih Kasih musim ketiga ini percaya watak Kak Su dalam drama PHK membawa tuah padanya untuk meniti di bibir peminat dalam bidang lakonan.

“Bukan saja watak Kak Su mendapat komen positif peminat di Instagram, ramai orang mula mencari profil lakonan saya di Internet.

“Selama ini, tidak ramai orang tahu drama dan filem lakonan saya kerana watak dilakonkan kurang beri impak pada penonton.

“Namun saya tidak pernah patah semangat untuk terus berikan yang terbaik pada lakonan dan akhirnya watak Kak Su berjaya mencuri perhatian penonton,” katanya.

Reen berkata, setiap watak ditawarkan sama ada heroin mahupun pembantu adalah amanah yang diberikan pada pelakon.

“Watak Kak Su atau Suria, wanita kampung yang sering berkain batik dan karakter gila-gila dengan suka menyebut perkataan ‘Halah Halah Halah’ itu saya warnakan wataknya menjadi ceria untuk menarik penonton.

“Saya membesar di kawasan kampung sebab itu tidak ada masalah menjiwai watak Kak Su yang lantang dan ceria itu,” katanya.

Selepas PHK, Reen mengakui rezekinya tidak pernah putus dalam bidang lakonan ketika ini. “Saya tidak kisah tawaran watak heroin, pembantu atau antagonis kerana percaya setiap watak penting untuk menghidupkan jalan cerita sesebuah naskhah itu.

“Selepas bercuti sebulan, saya akan kembali dengan watak pembantu ke lokasi penggambaran drama bersiri untuk stesen TV3 bulan depan.


DOAKAN yang terbaik buatnya.

“Watak pembantu pun jika kita berjaya menjiwainya dengan baik, ia tetap beri kesan pada penonton. Mungkin orang nampak saya seorang yang ceria tapi bila masuk saja lokasi, saya akan bertukar serius mengikut watak dilakonkan,” katanya.

Selain projek drama, Reen juga baru selesai penggambaran filem Mawas yang diterajui Datuk Farid Kamil. Manakala, filem lakonannya KL Vampire masih menanti tarikh tayangan. Walaupun berpengalaman dalam bidang lakonan, Reen masih menganggap dia dalam proses pembelajaran.

“Saya anggap setiap watak dalam drama dan filem bagaikan kelas lakonan. Saya tidak ada masalah bekerja dengan pelakon baharu tetapi selesa menimba ilmu dengan pelakon senior seperti Nabila Huda, Beto Kusyairy, Sharifah Amani, Fauziah Nawi dan Azhan Rani sekali gus memperbaiki kelemahan sedia ada,” katanya.


REEN Rahim lali dengan kecaman. FOTO: Mahzir Mat Isa

LALI DENGAN KECAMAN

Sepanjang berkecimpung dalam bidang seni, nama Reen turut terpalit dengan gosip mahupun kontroversi. Malah, penampilan imej seksinya yang sering dimuat naik di Instagram miliknya turut mendapat kecaman netizen. Enggan cepat melatah, Reen tetap melihat gosip dan kontroversi sebahagian daripada harga yang perlu dibayar sebagai anak seni.

“Saya tidak kisah dengan kecaman netizen kerana kita tidak boleh halang mereka dari mengkritik. Saya juga tidak sekat atau menutup ruangan komen selagi ia tidak keterlaluan dan berbaur lucah,” katanya.

Reen juga meminta peminat mendoakan yang terbaik untuk dirinya.

“Saya harap netizen yang suka mengecam itu berhenti melakukannya kerana mereka hanya mendapat dosa saja. Doakan saja yang baik-baik untuk diri saya. Siapa tahu saya akan berubah imej pada masa akan datang?


ANTARA babak Pujaan Hati Kanda Raya.

“Apa yang penting, saya tahu apa yang dilakukan dan keluarga juga tahu siapa diri ini yang sebenar,” katanya.

Mengulas mengenai penampilan seksi dalam lakonan pula, kata Reen, dia tidak ada masalah untuk melakonkannya mengikut tuntutan skrip.

“Setakat manalah imej seksi yang dibenarkan pihak stesen TV tempatan kerana kita terikat dengan syarat dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

“Kalau pakai gaun pun hanya setakat paras lutut kerana perlu menjaga sensitiviti masyarakat. Pelakonlah yang berdepan dengan cabaran untuk menghidupkan babak tanpa perlu berpakaian seksi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 5:30 AM