Perkongsian gambar Muhammad Amir Rusydi memegang foto arwah ibu dan ayahnya selepas majlis konvokesyen menyentuh hati netizen. FOTO Facebook
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SAYA tak sangka ia (hantaran) boleh tular kerana sekadar berkongsi apa yang terbuku di hati, namun gembira jika perkongsian itu dapat memberi inspirasi kepada orang lain,” kata graduan Ijazah Pergigian Jordan University of Science and Technology, Muhammad Amir Rusydi Mohd Nasir, 23.

Muhammad Amir Rusydi mencuri perhatian netizen di media sosial sejak tiga hari lalu apabila memuat naik gambar memaparkan dia memegang gambar ibu bapanya yang sudah meninggal dunia pada majlis konvokesyen di universiti itu.

Netizen rata-ratanya tersentuh selepas membaca luahan dan melihat gambar Muhammad Amir Rusydi memakai persalinan konvokesyen sambil memegang gambar bapanya Mohd Nasir Hassan dan ibu, Kamariah Mohd Razhali.

Muhammad Amir Rusydi berkata, gambar itu diambil selepas selesai majlis konvokesyen pada 17 Jun lalu.

Anak kelapan daripada 10 beradik itu berkata, gambar itu dibawa bersama ke majlis berkenaan bagi mengabadikan kenangan ibu bapanya yang sudah meninggal dunia.

“Ayah saya meninggal dunia kerana serangan jantung pada 19 Jun 2009 manakala ibu akibat barah pada 13 Disember 2013, setahun sebelum saya menyambung pengajian di Jordan.

“Tipulah kalau tidak rasa berputus asa tetapi saya kuatkan semangat kerana mahu membanggakan ibu dan ayah walaupun mereka sudah tiada.

“Alhamdulillah, saya berjaya sempurnakan pengajian selama lima tahun di sini (Jordan) dan membuktikan status anak yatim piatu bukan penghalang untuk ke menara gading,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Amir Rusydi memegang foto arwah ibu dan ayahnya. FOTO Facebook

Muhammad Amir Rusydi berkata, dia bercadang untuk pulang ke tanah air pada minggu depan selepas semua urusannya di Jordan selesai.

“Selepas kembali ke tanah air nanti, saya akan melapor diri di Majlis Pergigian Malaysia (DMC).

“Kemudian, saya akan berehat sementara menunggu tawaran untuk berkhidmat sebagai doktor gigi di hospital kerajaan yang ditetapkan,” katanya.

Menerusi hantaran pada 19 Jun lalu, Muhammad Amir Rusydi meluahkan rasa syukur dan kegembiraannya kerana dapat ‘membawa’ arwah ibu dan ayahnya bersama ke majlis konvokesyen, walaupun sekadar di dalam gambar.

Muhammad Amir Rusydi turut mendoakan kebahagiaan dan berharap kebaikan dan pahala diperoleh sebagai seorang doktor nanti dapat disalurkan kepada ibu bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 11:55 PM