TELEFILEM Wakaf Dosa satu bentuk nasihat dan sesuai dengan situasi masyarakat hari ini. FOTO: Rosela Ismail
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

WALAUPUN sudah beberapa minggu telefilem Wakaf Dosa ditayangkan di kaca TV bersempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini, ia terus ditonton ramai peminat di YouTube. Sehingga kini, jumlah tontonannya mencecah lebih 210,000 di laman YouTube TV3 Malaysia dan jumlah itu terus meningkat.

Bintang utamanya, Datuk Rosyam Nor, berkata penerbitan telefilem itu adalah satu bentuk nasihat daripada syarikat produksinya, Suhan Movies memandangkan ia sesuai dengan situasi kehidupan masyarakat hari ini.

“Alhamdulillah, ramai memberikan reaksi positif. Di YouTube pun, jumlah tontonan semakin meningkat. Sebenarnya, apa yang disampaikan dalam Wakaf Dosa itu kena dengan ramai orang termasuk diri saya sendiri,” katanya.

Menurutnya, tunjang utama jalan cerita mengenai fitnah akhir zaman itu sesuai menjadi ingatan buat semua penonton.

“Nabi pernah berpesan, pada akhir zaman banyak fitnah akan muncul. Di akhirat kelak, ramai yang akan ‘muflis’. Mungkin ramai yang tak sedar mengenai fitnah yang wujud hari ini.

“Saya beri contoh ringkas. Ada satelit yang mewujudkan Internet, dan Internet mewujudkan media sosial. Manusia tanpa sedar melakukan fitnah dan mengaibkan orang lain menerusi media sosial.


ROSYAM rancak menjalani penggambaran filem aksi J Retribusi.

“Apabila ia tersebar dan disambut pula orang lain, ia menimbulkan kekeliruan sekali gus mengundang fitnah yang lebih besar,” katanya.

Katanya, apabila fitnah menular, dosa itu terus menerus dibawa sehingga kiamat.

“Apabila mati, semua yang berkongsi fitnah di alam maya membawa dosa mereka sehingga ke hari kiamat. Jangan lupa, dosa memfitnah itu lebih besar daripada membunuh,” katanya.

Ditanya sama ada dia kini lebih selesa menghasilkan dan menerbitkan karya berbentuk ketuhanan, Rosyam berkata, ramai tidak sedar setiap karya itu sebenarnya ada maksud tersirat yang dikaitkan dengan Tuhan.

“Semua karya sebenarnya ada nilai ketuhanan. Contohnya, lagu pun ada yang menjurus ke arah ketuhanan, cuma orang saja yang tak perasan. Pada usia saya sekarang, saya rasa lebih baik cari naskhah yang boleh membantu di akhirat. Naskhah yang ditinggal semasa hayat akan menjadi bahan rujukan manusia.

“Saya pun sudah masuk 52 tahun dan nak cuba cari peluang untuk bawa bekalan ke akhirat sebanyak yang mungkin,” katanya.

Secara ringkasnya, Wakaf Dosa mengisahkan Bakri Zain lakonan Rosyam yang berjaya mencipta nama sebagai pelakon.

Dengan pelbagai anugerah dimenanginya, dia dicemburui pelakon terkenal lain sehingga berlaku fitnah. Selain Rosyam, telefilem itu turut dibintangi Izzue Islam, Farahdhiya dan Sweet Qismina.

Terbaharu, Rosyam rancak menjalani penggambaran filem aksi J Retribusi yang menjadi sekuel kepada filem J Revolusi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 5:00 AM