MEREKA bergabung semula selepas 22 tahun dengan lagu baru. FOTO: Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


SEBUAH projek band yang dihasilkan tanpa tekanan, namun anggotanya serius mahu kehadiran mereka diterima peminat.

Itulah matlamat kumpulan Overall Band yang menampilkan Zahid Baharudin atau Zahid AF2 sebagai penyanyi, Mohd Roslan Alias (Lan Taroo - gitar utama), Farid Hamdan (Paed - bass), Yusri Mohd Azmi (Yus - dram), Muhammad Hafiz Jamaidun (Aan - keyboard) dan Rozaki Zakaria (Kieya - pengurus).

Paed yang juga pengasasnya berkata, Overall Band bukanlah kumpulan baru kerana ditubuhkan sejak 1997 lagi.

“Saya memikirkan agak menarik apabila pilih konsep semua anggotanya kena pakai overall ketika beraksi. Apabila ditawarkan menyertai kumpulan lain, saya diamkan Overall Band buat seketika. Selepas 22 tahun, timbul semula keinginan untuk menghidupkan kumpulan ini. Saya menghubungi Zahid serta anggota lain, semuanya tiada apa-apa projek dan setuju untuk terbabit,” katanya.

Kumpulan yang bernaung di bawah label 30 Cents Entertainment milik Paed ini bakal tampil dengan single pertama berjudul Redho Je.

“Lagu ini ciptaan saya sepenuhnya dan berkonsepkan modern pop rock. Ia adalah kisah benar seorang kawan saya yang pernah putus cinta dan kini membujang.


PAED berharap Redho Je membawa tuah buat mereka.

“Dia pernah nak kahwin dan impiannya tak kesampaian. Jadi dia mahu terus membujang di samping buat amal ibadat dan menanti ajal.

“Idea inilah yang saya ketengahkan menerusi lagu ini. Ramai yang sudah mendengar dan menyukainya,” katanya yang berhasrat menghasilkan muzik video lagu ini dan akan melakukan pelancarannya pada awal Julai.

Overall Band baru dikumpulkan sekitar April lalu namun sudah berpeluang menjayakan beberapa persembahan pentas.

“Menerusi persembahan ini, saya lihat kami ada keserasian bersama. Saya sebenarnya pernah menjayakan persembahan dengan anggota ini sebelumnya.

“Seperti yang saya katakan, ini projek tanpa tekanan kerana setiap anggota kami masing-masing ada kumpulan sendiri.

“Mereka bebas ambil mana-mana tawaran kerana ia rezeki mereka. Sekiranya tarikh persembahan bertembung, saya akan ambil pemuzik dan penyanyi lain untuk menggantikan tempat mereka,” katanya.

Paed berharap Redho Je membawa tuah buat mereka dan membayangkan akan terus tampil dengan single seterusnya.

“Semua anggota kami berpengalaman luas dalam muzik. Kami sekarang tampil dengan single pertama, tapi saya berhasrat akan tampil dengan satu single setiap bulan.

“Apabila cukup enam lagu, kami rancang akan menghasilkan satu album. Ia akan dibuat mengikut susunan yang ditetapkan.

“Untuk projek sulung, saya hasilkan lagu terlebih dahulu dan yang seterusnya saya akan buka peluang buat semua anggota terbabit dalam penciptaan lagu,” katanya.

Sementara itu, Zahid mengakui seronok dalam bergabung dengan rakan-rakan dalam kumpulan Overall Band.

“Saya pernah cuba solo dan duet, namun kurang menyerlah di mata peminat. Mungkin ini formula baru yang boleh menyerlahkan nama saya dalam industri.

“Sebelum masuk Akademi Fantasia lagi saya pernah menyanyi bersama kumpulan dan ia bukan perkara asing.

“Saya lebih seronok menyanyi dengan kumpulan berbanding beraksi menggunakan minus one. Apabila diberikan peluang, mengapa tidak saya mencuba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 5:30 AM