Keadaan bas yang terjunam ke dalam gaung hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


SEORANG pelajar Orang Asli parah manakala tujuh lagi cedera selepas bas sekolah yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke gaung dalam kejadian di jalan utama Kampung Panderas, Kuala Krau, Temerloh hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa yang parah adalah Ellyka Liew Mew Chong, 14, yang mengalami kecederaan di kepala serta kaki dan masih menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmod berkata, tujuh lagi mangsa yang cedera adalah Shaiful Sharil, 17, Norzamela Dollah, 15, Natasya Aliani Kuan, 15, Zainurin Vivielian Zainudin, 14, Nadirah Julei, 14, Raimi Ranti, 15, dan Faridah Nasir, 14.

Katanya, dua lagi pelajar tidak mengalami kecederaan dan semuanya adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau.

“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian bas yang dipercayai dinaiki 10 penumpang itu dalam perjalanan ke Kampung Pian dari SMK Kuala Krau.

“Ketika melalui kawasan selekoh berbukit, bas berkenaan mengalami masalah teknikal dan mengundur ke belakang lalu terbalik sebelum terjunam ke dalam gaung.

“Kejadian itu menyebabkan seorang penumpang parah, tujuh cedera manakala dua lagi tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Mangsa yang cedera menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Kuala Krau.

Zundin berkata, pihaknya masih mengenalpasti jumlah sebenar penumpang bas memandangkan ada antaranya tidak mendapatkan rawatan di klinik mahupun hospital sebaliknya terus pulang ke rumah.

Katanya, polis juga sedang mengesan pemandu bas yang dipercayai menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 12:22 AM