ANGGOTA bomba memadam kebakaran empat deretan rumah di Kampung Sungai Udang. Gambar kecil, Wahyu.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


KLANG: “Menyedari bunyi bising itu, saya bergegas keluar dan cuba memecahkan pintu rumah jiran serta mengetuknya berulang kali namun tiada sahutan.

“Melihat api semakin marak, saya kemudian memanggil isteri dan mengetuk pintu jiran lain supaya mereka keluar menyelamatkan diri,” kata Junaidi Suparto, 64, mangsa kebakaran empat deretan rumah di Kampung Sungai Udang di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu mengorbankan dua beranak warga Indonesia yang ditemui rentung selepas rumah sewa didiami mereka musnah dijilat api.

Mangsa, Sulastri Setro, 48, dan anaknya, Wahyu Mohd Asraf, 18, cuba keluar namun gagal kerana pintu berkunci dan terhalang oleh beberapa motosikal di dalam rumah berkenaan.

Memilukan apabila dua beranak masing-masing pekerja kantin dan mekanik itu ditemui dalam tandas dipercayai ‘jalan’ terakhir untuk menyelamatkan diri.

Junaidi berkata, ketika kejadian dia dan isterinya, Aminah Yuswadi, 54, bersiap untuk menunaikan solat Subuh di rumah mereka.


SAMINEM (kanan) tidak dapat menahan sebak dengan kehilangan adiknya.

“Kebakaran itu berlaku pantas dan saya hanya sempat menyelamatkan motosikal serta dokumen penting.

“Sewaktu cuba mahu menyelamatkan dua beranak itu, keadaan pintu jeriji besi rumah berkenaan berkunci dan saya turut tidak mendengar bunyi jeritan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian, semalam.

Buruh binaan yang menetap di situ sejak setahun lalu berkata, dia mengenali keluarga mangsa dan bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran berkenaan.

Sementara itu, kakak Sulastri, Saminem, 60, berkata, dia kali terakhir menemui arwah yang menziarah rumahnya di Sungai Bertih di sini, petang kelmarin.

“Dia (arwah) memang sentiasa datang ke rumah saya dan kami hanya bersembang biasa tanpa melihat sebarang perubahan pada dirinya.

“Namun, saya terkejut apabila dimaklumkan kejadian itu pagi tadi (semalam), Allah lebih menyayangi mereka berdua,” katanya sebak.

Selain itu, suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian apabila Saminem rebah dan menangis teresak-esak sambil ditenangkan ahli keluarga dan penduduk setempat.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 6:30 AM