SOP pengeksportan durian sejuk beku ke China dikeluarkan sebagai panduan kepada semua pejabat pengeluar sijil fitosanitasi.
Mohamad Hussin dan Mohd Sabran Md Sani
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) pengeksportan durian sejuk beku ke China dikeluarkan sebagai panduan kepada semua pejabat pengeluar sijil fitosanitasi untuk diguna pakai bagi menjalankan perakuan fitosanitasi kepada pengusaha tanaman durian.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, produk sejuk beku berasaskan durian yang dieksport tanpa sijil fitosanitasi adalah dilarang masuk ke China.

Beliau berkata, kelulusan laluan pasaran dan protokol pengeksportan bagi durian sejuk beku ke China telah diperolehi dari pihak Pentadbiran Am Penyeliaan Kuantiti, Pemeriksaan dan Kuarantin Republik Rakyat China (AQSIQ) pada 23 November 2007.

“AQSIQ adalah badan yang mengawal selia kualiti, keselamatan, pensijilan, pemeriksaan dan kuarantin bahan makanan, haiwan dan tanaman di pintu masuk serta keluar negara terbabit.

“Pengeksportan durian sejuk beku ke China khasnya dalam bentuk pes mula meningkat mulai tahun 2011.

“Pada mulanya, durian pes yang dieksport hanya diproses di premis yang mendapat akreditasi pihak AQSIQ.

“Bagaimanapun, disebabkan permintaan pasaran yang sangat tinggi maka terdapat pihak yang memproses dan mengeksport durian pes dari fasiliti yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pertanian (DOA) serta tidak diakreditasi pihak AQSIQ,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Jamal Harizan berkata, AQSIQ mendapati sukar membezakan kemasukan produk durian sejuk beku dan durian pes dari Malaysia kerana deklarasi kastam bagi kedua-dua produk di pintu masuk China menggunakan kod tariff (HS) yang sama di bawah durian sejuk beku.

“Produk durian pes dari Malaysia yang disertakan dengan sijil fitosanitasi (sijil kesihatan tumbuhan) dari DOA dan sijil kesihatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) dibenarkan masuk bersandarkan keadaan semasa produk yang turut dieksport pada suhu -18°C.

“Mulai 2014, AQSIQ menjalankan pemantauan lebih ketat ke atas produk durian pes dari Malaysia dengan mensyaratkan pengambilan sampel untuk analisis mikrob sebelum produk dibenarkan masuk.

“Peningkatan jumlah eksport dan pendaftaran fasiliti pemprosesan antara sebab SOP ini disediakan sebagai panduan kepada semua pihak terbabit bagi memastikan produk yang dieksport ke China adalah berkualiti premium serta mematuhi semua protokol yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, prosedur kerja ini merangkumi syarat pengeksportan durian sejuk beku ke negara China, peralatan yang diperlukan, proses kerja aktiviti pemprosesan durian sejuk beku, pendaftaran ladang untuk eksport, pendaftaran fasiliti memproses durian sejuk beku dan pengeluaran sijil fitosanitasi.

“DOA mengambil langkah untuk mengawal selia pengeksportan durian sejuk beku ke negara China antaranya semua fasiliti yang memproses durian sejuk beku perlu berdaftar dan lulus audit fasiliti serta memperoleh Sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) dari KKM.

“Semua ladang yang membekalkan buah durian untuk diproses menjadi durian sejuk beku perlu berdaftar dengan DOA.

“Ladang berkenaan perlu mendapat sijil MyGAP dari Pejabat Pertanian Daerah terdekat atau di Bahagian Kualiti Tanaman , Jabatan Pertanian, Putrajaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 6:00 AM