TINJAUAN keadaan sekitar Pasar Payang 2 yang menjadi lokasi sementara bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan projek pembangunan semula Pasar Besar Kedai Payang.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) yang dibina pada 1967 akan menjalani proses transformasi, sekali gus dilengkapi pelbagai kemudahan dan ciri-ciri moden sesuai dengan peredaran zaman bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan peniaga.

Projek pembinaan semula PBKP itu dijalankan bermula akhir Jun ini dan dijadualkan siap pada 2021 dengan kos dianggarkan RM71 juta.

PBKP baru itu dinaik taraf sebagai Kompleks Pasar Kedai Payang lengkap berhawa dingin serta beroperasi 24 jam dan mempunyai kapasiti lot niaga sebanyak 600 lot dengan penambahan keluasan kedai dan ruang legar.

Kemudahan lain seperti tandas, tandas orang kurang upaya (OKU), bilik persalinan bayi, eskalator dan lif akan disediakan di bangunan dua tingkat itu.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok berkata, PBKP kali terakhir diubah suai pada 1983 dan digunakan tanpa melalui sebarang perubahan dan penambahbaikan.

“Selama 36 tahun, PBKP tidak melalui proses baik pulih secara besar-besaran dan ia menimbulkan pelbagai masalah termasuk sistem perniagaan tidak teratur, ruang niaga kurang selesa dan sempit serta lambakan peniaga yang tidak mempunyai cukup ruang untuk berniaga.

“Justeru, pembinaan semula Kompleks Pasar Kedai Payang ini akan menyelesaikan segala masalah serta dibangunkan seiring dengan pembangunan yang menonjolkan seni bina tradisional lebih menarik.

“Lot kedai dibahagikan mengikut jenis jualan iaitu kedai emas, bahan basah, alatan dapur dan kraf, pakaian serta medan selera,” katanya.

Selain itu, bahagian jualan buah-buahan dan sayur-sayuran juga diasingkan di satu sudut lain bagi memudahkan pengunjung membeli-belah mengikut keperluan mereka.

“Selain transformasi yang dijalankan ke atas PBKP itu, MBKT dengan persetujuan dan cadangan peniaga serta orang awam akan membina semula Menara Jam sebagai salah satu mercu tanda Kompleks Pasar Kedai Payang .

“Bukan itu saja, Surau Datuk Amar yang terletak bersebelahan PBKP juga dirobohkan untuk pembinaan semula surau baru yang lebih luas dan mampu memuatkan seramai 240 jemaah pada satu masa berbanding surau lama yang hanya mampu menampung 80 jemaah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap Kompleks Pasar Kedai Payang akan memberi lebih banyak manfaat kepada peniaga dan pengunjung serta kekal sebagai ikonik Kuala Terengganu yang mampu menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 11:11 AM