SHIQIN lebih suka peranan protagonis dan mahu cuba aksi lasak. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


BERPELUANG menjiwai pelbagai watak, Shiqin Kamal, 27, bagaimanapun akur apabila dirinya lebih dikenali dengan watak antagonis.

Meskipun pada awalnya pemilik nama sebenar Nur Ashiqin Mohd Kamal ini kurang selesa, dia mengakui karakter gelap lebih menonjolkan dirinya sehingga menjadi sebutan ramai penonton.

Terkini, dia mencuri perhatian ramai menerusi watak Rita menerusi drama Jodoh Jodoh Annisa malah pernah penonton tidak dapat mengawal emosi amarah apabila bertemu selepas menonton karya itu.

“Tidak dinafikan orang lebih cepat kenal saya apabila bawa watak jahat tetapi yang tak seronoknya ada yang terlupa itu hanya lakonan. Mereka cepat melatah dan marahkan saya lebih-lebih lagi jika bertemu di mana-mana.

“Bagaimanapun, ada juga penonton yang faham dan memberikan sokongan tidak bertepi. Mereka tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat kepada saya untuk mempamerkan lakonan lebih baik selepas ini,” katanya.


WATAK gelap pancing perhatian

Menurut Syiqin yang mula mencipta nama menerusi filem Lagenda Budak Setan pada 2010, tidak ramai pelakon berminat bawa watak gelap dan kerana itu ia buka peluang luas kepadanya untuk memancing perhatian penonton seterusnya lebih dikenali.

“Apabila kita lebih dikenali, peluang untuk mengembangkan watak terbuka luas. Kalau tanya saya, jujurnya saya lebih sukakan watak baik dan jika diberi peluang mahu mencuba watak lasak seperti dalam filem lakonan Angelina Jolie.

“Saya sangat mengagumi watak aksi lakonannya. Bagi saya watak aksi tidak semestinya kena jadi polis atau ada aksi mengejar.

“Menjadi perisik atau sesuatu watak yang baharu dan ada kelainan, itu yang saya mahukan,” katanya.

AKTIF BERTINJU

Berkongsi perkembangan terbaharu, Shiqin kini bergiat dengan sukan tinju. Bukan kerana dia akan terbabit dalam mana-mana projek karya aksi tetapi itu minatnya sejak dulu.

“Saya pilih sukan tinju kerana ia skil yang diperlukan oleh wanita yang sering pulang kerja lewat malam seperti saya.

“Setidak-tidaknya saya boleh mempertahankan diri jika ada sesuatu tidak baik berlaku. Penting untuk saya tahu teknik berlawan yang betul jika berdepan musuh,” katanya.

Katanya, ia juga sebagai persiapan andai satu hari nanti ditawarkan watak lasak. Sekurang-kurangnya dia sudah ada asas dalam seni mempertahankan diri dan boleh diamalkan dalam penggambaran.

Dalam pada itu, Shiqin turut terbabit dalam drama bersiri terbaharu bertajuk Ajari Playboy Itu yang turut dilakonkan oleh Fendy Bakry dan Emma Maembong.

TERUJA MENARI BALLET

Jika mengikuti Instagram anak jati Kuala Lumpur ini, Shiqin yang terbabit dengan drama bersiri Ajari Playboy di samping Fendy Bakry dan Emma Maembong dilihat kerap memuat naik gambar mendalami tarian ballet.

Mengakui meminati tarian balet sejak kecil, Shiqin teruja apabila diberi peluang membabitkan diri dalam kempen dianjurkan sebuah produk jenama kecantikan.

Menurut Shiqin, sejak kecil dia sangat meminati tarian balet namun tidak mempunyai peluang untuk mencubanya.


SYIQIN bersama rakan yang menyertai tarian balet.

“Saya sangat teruja apabila dipilih untuk menyertai tarian balet. Ia adalah sebahagian daripada kempen anjuran produk kecantikan berkenaan. Saya suka dengan aktiviti melenturkan badan seperti ini, kali pertama menyertainya rasa sangat betul-betul teruja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 6:00 AM