HARRIS berulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur setiap minggu penuhi komitmen sebagai anak seni. FOTO: Saddam Yusoff
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

INGIN berjaya dalam bidang diceburi pasti ada pengorbanan yang perlu dilakukan. Apatah lagi jika sudah berkeluarga, banyak faktor perlu diambil kira. Itulah yang dilalui penyanyi Harris Baba yang sentiasa meletakkan isteri dan anak sebagai keutamaan dalam hidupnya.

Demi kelangsungan kerjayanya sebagai penyanyi, Harris sama sekali tidak kisah berulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur setiap minggu bagi memenuhi komitmennya sebagai anak seni.

Walaupun penat, dia tidak kisah kerana hasratnya untuk kembali aktif mendapat sokongan dan dorongan isteri tercinta, Nik Naziha Zawawi.

“Selepas kami berkahwin, Jiha (Nik Naziha) menetap di Keningau. Oleh itu, jadual saya sedikit sibuk kerana hampir setiap minggu perlu berulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur.

“Letih memanglah letih tetapi di sebalik semua itu, saya lega dan gembira kerana isteri sangat memahami. Dia sentiasa menyokong kerjaya seni saya. Walaupun terpaksa membahagikan masa antara kerja dan keluarga, saya tidak rasa terbeban.


HARRIS bakal lancar album mini.

“Pada masa sama, saya ingin melihat kerjaya seni kembali mekar kerana keluarga. Saya tidak akan sia-siakan kepercayaan dan sokongan yang mereka berikan,” katanya.

Jejaka kelahiran Singapura itu mendirikan rumah tangga dengan Nik Naziha pada Mei 2016. Mereka dikurniakan dua anak iaitu Aleena Ziya, 2, dan Muhammad Umar Baba yang kini berusia sembilan bulan.

Bakal tampil dengan album mini, kata Harris, enam lagu akan dimuatkan dalam buah tangan baharunya itu.

“Walaupun sudah agak lama sepi tanpa sebarang lagu baharu, saya masih seorang penyanyi. Saya hilang seketika kerana ada urusan kerja yang perlu dilaksanakan di Sabah.

“Saya juga berehat sebentar kerana ingin fokus membesarkan dua anak. Kini, anak kedua pun sudah berusia sembilan bulan, jadi bolehlah saya kembali aktif menyanyi.

“Insya-Allah, album mini saya akan dilancarkan tidak lama lagi. Muzik video pula, masih ada satu lagi yang perlu disiapkan. Saya berharap peminat terus memberikan sokongan,” katanya.

Pernah berlakon dalam beberapa karya, Harris bagaimanapun ingin memberikan fokus kepada penghasilan album mininya buat sementara waktu. Dia tidak mahu apa yang berlaku kepada lagu Parah berulang lagi.

“Saya tidak mahu album ini menerima nasib sama seperti lagu Parah. Ketika lagu itu dilancarkan, saya sibuk dengan lakonan. Situasi itu menyebabkan saya sukar untuk melakukan promosi.

“Saya minat berlakon tetapi apabila difikirkan semula, lebih molek sekiranya saya fokus satu demi satu kerja. Mungkin selepas semua urusan album selesai, saya akan kembali berlakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 5:30 AM