FOTO kejadian yang tular di media sosial. FOTO Ihsan FB Rozita Abdul Razak
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


“DIA kata saya tidak bawa dia mandi kolam. Jadi dia terjun dalam lopak air itu," kata Rozita Abdul Razak, 39.

Itu respons wanita itu apabila mengetahui gelagat anaknya, Putera Muhammad Shafi'e Sak'ma, 7, yang mandi di dalam lopak air menjadi tular di Facebook

Rozita berkata, kejadian berlaku pada 6.30 petang berdekatan dengan tempat sekolahnya mengajar di Sekolah Agama Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor.

“Memang setiap hari, apabila saja pulang dari sekolahnya, pemandu bas akan memberhentikan anak saya di tempat saya mengajar.

“Ada rakan memberitahu saya yang anak saya main air di luar sekolah. Namun, saya tidak sangka yang dia mahu terjun dalam lopak air berikutan hujan sebelum itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ibu kepada empat anak itu, berkata, anaknya bongsunya itu sememangnya aktif dan suka bermain air.

“Pantang nampak air, dia memang orang pertama yang akan teruja terlebih dahulu. Kalau dekat kampung, air hujan yang turun dari atap rumah dia akan 'mandi' dulu.

“Kami tidak akan halang untuk dia bermain. Bagi kami ia adalah proses terpenting dalam proses pembesaran selagi ia tidak mendatang kemudaratan kepada mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Rozita berkata, beliau dan suaminya bercadang untuk membawa anak-anaknya mandi ke kolam dalam masa terdekat.

Terdahulu, status yang dimuat naik Rozita itu tular di media sosial dan rata-rata netizen terhibur dengan tindakan anak Rozita itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 6:32 PM