SEKUMPULAN Orang Asli Semaq Beri berehat di pondok yang dibina mereka ketika tinjauan di Kampung Gerdong iaitu tapak penempatan sementara.
Wan Faizal Ismayatim
am@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang adalah measles atau demam campak.

Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes membabitkan komuniti Orang Asli itu disebabkan wabak berkenaan termasuk tiga kematian yang disahkan sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

“Faktor penyumbang kepada penularan jangkitan measles dalam komuniti Orang Asli Kampung Kuala Koh ini adalah liputan imunisasi yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin (mump, measles dan rubela) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

“Pasukan kesihatan sukar memberi perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini kerap berpindah randah.

“Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi,” katanya kepada media di sini, semalam.


RUMAH dan kawasan sekitar penempatan Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh dibersihkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Beliau berkata, jangkitan virus measles mudah merebak yang mana satu kes boleh menularkan jangkitan kepada 12 hingga 18 individu lain.

Katanya, jangkitan menular melalui titisan cecair pernafasan di udara dan sentuhan langsung dengan cecair pernafasan daripada orang dijangkiti.

Menurutnya, measles boleh dicegah dengan imunisasi.

“Gejala penyakit measles adalah demam dengan batuk, selesema atau mata merah (konjunktivitis) diikuti dengan ruam selepas beberapa hari.

“Komplikasi jangkitan measles berlaku terutama kepada bayi, kanak-kanak serta individu yang kekurangan zat makanan dan tahap imuniti rendah.

“Komplikasi measles termasuk pneumonia, cirit-birit, keradangan otak, otitis media dan kematian.

“Kadar kematian kes measles lazimnya kurang daripada satu peratus namun boleh setinggi tiga hingga enam peratus sekiranya kekurangan zat makanan,” katanya.

Berikutan itu, beliau mengarahkan tindakan pencegahan dan kawalan wabak termasuk carian kes secara aktif di perkampungan Orang Asli terbabit dan perkampungan sekitar berdasarkan pergerakan mereka sebelum ini.

Katanya, vitamin A juga diberi kepada semua kanak-kanak bagi kes measles yang dirawat bertujuan meningkatkan sistem imuniti memandangkan mereka kekurangan zat makanan.

“Aktiviti imunisasi kepada semua penduduk Orang Asli di lokasi terbabit turut dilaksanakan selain menjalankan pendidikan kesihatan kepada penduduk termasuk sesi kaunseling bagi mengurangkan tekanan dan keresahan.

“Kita juga mempertingkatkan Infection Prevention Control di fasiliti kesihatan dan sentiasa mengamalkan penggunaan alat perlindungan diri yang bersesuaian,” katanya.

Beliau turut mengarahkan negeri lain mempertingkatkan pemantauan serta liputan imunisasi dalam kalangan komuniti Orang Asli di negeri masing-masing.

“Pihak negeri hendaklah memaklumkan segera kepada kementerian sekiranya terdapat kluster kes atau kematian yang mempunyai gejala sama,” katanya.

Mengulas kematian seorang kanak-kanak Orang Asli, Nasri Rosli, kelmarin, beliau berkata, kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan itu hanya mempunyai berat tujuh kilogram (kg) berbanding 13kg bagi kanak-kanak normal pada usia berkenaan sekali gus menunjukkan dia kekurangan zat dan berisiko apabila terkena jangkitan.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 6:30 AM