AMELIA ingatkan netizen supaya tak pamer kebodohan dengan menulis komen negatif. FOTO: Rosela Ismail
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

MESKI berbakat dan memiliki rupa paras jelita, Amelia Henderson tidak terlepas daripada kecaman netizen di media sosial. Biar pelbagai kutukan dilemparkan kepadanya, pelakon yang memulakan karier seni sejak zaman kanak-kanak ini tampak kuat dan tidak mudah mengalah.

Ini kerana dia sudah lama bersiap sedia memastikan hatinya kental berdepan apa saja kemungkinan termasuk kecaman orang ramai.

“Bukan di Malaysia saja, negara lain juga begitu. Kalau sudah namanya netizen, sikap mereka memang begitu. Menulis sesuka hati tanpa memikirkan perasaan orang lain,” katanya.

Menurut Amelia lagi, apa yang ditulis netizen di laman Instagram (IG) miliknya, dianggap sebagai hal remeh dan tidak perlu diberi perhatian.

“Saya menceburi dunia glamor sejak kanak-kanak. Banyak benda orang bercakap mengenai diri ini dan saya sudah lali. Ketika berusia 12 tahun, saya pernah dikecam teruk. Apa yang diperkatakan itu paling teruk dan sangat menjijikkan,” katanya.

Diuruskan oleh ibunya ketika mula-mula menceburi bidang seni, Amelia berkata, mereka pernah menerima ugutan daripada individu tidak dikenali.


AMELIA Henderson ketika penggambaran Filem J-Retribusi di Johor Bahru.

“Pernah sekali ibu menerima mesej ugutan daripada individu yang mendakwa mahu menculik dan merogol saya hingga mati.

“Pengalaman itu banyak mengajar saya untuk jadi lebih kuat termasuk berdepan kerenah netizen. Apa yang membuatkan saya rasa bahagia dan tidak terlalu memikirkan kata-kata orang ramai adalah tahu diri ini disayangi keluarga dan rakan. Jadi, tak perlu gusarkan hati dengan perkara yang tidak perlu,” katanya.

Amelia turut menitipkan pesanan buat netizen agar tidak mempamerkan kebodohan sendiri dengan menulis komen negatif mengenai orang lain di media sosial.

“Saya tak faham mengapa netizen ada banyak kebencian dalam diri mereka. Mereka tulis tanpa berfikir. Bagaimanapun, apa yang mereka tulis itu sedikit pun tidak beri kesan kepada saya. Kalau nak nampak bodoh dengan menulis komen tidak sepatutnya, silakan.

“Saya bukan jenis yang akan padam atau menyekat orang daripada berinteraksi di media sosial saya melainkan komen yang ditulis itu menyentuh perihal keluarga atau menimbulkan pergaduhan.

“Seperkara lagi, di media sosial tidak ada sesiapa yang memaksa netizen mengambil tahu perkembangan orang yang mereka benci. Kalau benar-benar tak sukakan saya, sekat dan jangan ikuti IG saya,” katanya.

BINTANGIN FILEM J RETRIBUSI

Beralih perkembangan karier, si cantik ini dipilih menjadi sebahagian daripada keluarga filem aksi J Retribusi yang juga sekuel filem J Revolusi.

Ketika ditemui, Amelia teruja berkongsi pengalaman sulungnya membintangi filem aksi dan keseronokan bekerja di bawah arahan Nasrul Asraff dua sutradara berbakat besar, Mahzan serta Nazim Shah itu.


AMELIA bersama ibunya, Jaya Rudralingam.

“Dalam filem ini, saya memegang watak Amy yang sangat fokus dengan kerjanya. Sepanjang perjalanan cerita, penonton dapat lihat perubahan yang berlaku kepada diri Amy,” katanya.

Amelia turtu memaklumkan banyak cabaran dilaluinya bagi menjayakan karya itu terutama aspek fizikal.

“Sebelum mula masuk set penggambaran, saya buat persediaan termasuk ke gimnasium untuk memastikan diri bertenaga ketika menjayakan babak aksi.

“Paling mencabar ketika pertama kali menjalani latihan untuk babak aksi, badan saya sakit sampaikan tak boleh keluar rumah,” katanya.

Mengakui selesa berada di set, Amelia berterima kasih kepada pengarah yang banyak membantunya menjiwai watak Amy.

“Pengalaman penggambaran J Retribusi adalah yang terbaik kerana semua orang bekerja bersungguh-sungguh. Terima kasih juga kepada pengarah yang banyak membantu saya. Sepanjang penggambaran, saya banyak bertanya perkembangan watak Amy untuk memastikan lakonan menepati kehendak pengarah,” katanya.

Selain Amelia, J Retribusi turut dibintangi ramai pelakon hebat termasuk Zul Ariffin dan Datuk Rosyam Nor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 6:00 AM