Alister Cogia.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


KUCHING: Tahap kesihatan mental Alister Cogia, lelaki yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 bulan pada Mac lalu kerana menghina Nabi Muhammad SAW menerusi Facebook Ayea Yea adalah normal.

Perkara itu disahkan Mahkamah Tinggi Kuching di sini hari ini selepas mendapat laporan Hospital Sentosa Kuching mengenai tahap kesihatan mental Alister, 22.

Malah, sepanjang tiga bulan di wad Hospital Sentosa, keadaan mental Alister didapati stabil dan setakat ini, dia hanya disahkan menghidap subklinikal tiroid.

Dia juga didapati sedar dengan keadaan persekitaran dan tidak menghadapi masalah psikosis serta tidak mendesak.

Alister turut dilaporkan mempunyai daya kognitif memuaskan dan mampu memberikan respon dengan baik tanpa masalah.

Secara keseluruhannya, Alister didapati sihat dari segi mental serta tidak berada di bawah apa-apa pengaruh ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Pakar psikiatri sebaliknya hanya mencadangkan Alister menjalani sesi psikoterapi untuk pengurusan kemarahan dan memperbaiki fungsi penyesuaian sosialnya.

Justeru, laporan berkenaan secara keseluruhannya menunjukkan Alister layak dibicarakan di mahkamah kerana dia mampu untuk memahami pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Hakim Azhahari Kamal Ramli kemudiannya mengeluarkan reman untuk Alister dan menetapkan 2 Ogos depan sebagai tarikh penghujahan.

Namun, peguam Alister, Francis Teron ketika ditemui berkata, beliau masih mengekalkan pandangan beliau tidak memahami pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Francis Teron, Desmond Kho dan Jeffrey Mok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 6:00 AM