MARK tidak hanya fokus menyanyi dan melawak, mahu ceburi semua cabang seni.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


BUKAN mudah bertapak dalam dunia hiburan tanah air. Banyak onak duri terpaksa ditempuh sebelum meraih kejayaan. Bagaimanapun, penyanyi, pelawak dan pelakon kelahiran Cebu, Filipina, Mark Adam bersyukur kerana kehadirannya diterima baik peminat sejak enam tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur diterima di sini. Namun, diakui bukan mudah mengekalkan nama kerana persaingan sangat sengit.

“Sebagai anak seni, saya hanya memberikan yang terbaik dalam setiap kerja diamanahkan Tuhan kerana ia periuk nasi untuk menyara keluarga,” katanya.

Mark akui sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan dalam setiap cabang seni diceburi dari semasa ke semasa.

“Saya menimba ilmu setiap hari di lokasi penggambaran drama mahupun program televisyen.

“Saya juga berasa sangat bertuah kerana ramai anak seni berpengalaman sudi mengajar saya,” katanya. Mark menjadikan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai idolanya.

“Bakat dalam bidang seni adalah anugerah Tuhan. Saya mahu menceburi semua cabang seni, tidak hanya fokus sebagai penyanyi dan pelawak semata-mata.

“Saya cabar diri kerana mahu dikenali sebagai anak seni serba boleh,” katanya. Berkongsi perkembangan terkini, penyanyi lagu Pencuri itu memaklumkan dirinya dihujani tawaran membintangi drama dan telefilem.

“Saya akan berkongsi dengan peminat perkembangan projek telefilem baru di media sosial. Selain drama, saya juga bakal muncul dengan filem aksi komedi, Hero yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

“Karier nyanyian pula, saya merakamkan beberapa lagu untuk album baru yang dijangka berada di pasaran hujung tahun ini,” katanya.

PENYIASAT TETAP MUSIM KEDUA ICSYVMY

Selepas kejayaan musim pertama, program realiti hiburan I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) kembali dengan musim kedua yang lebih menarik dengan menampilkan penyanyi misteri dan barisan artis undangan terkenal tanah air.

Program yang mengetengahkan format asal dari Korea Selatan itu menyaksikan gandingan hos Shuk Sahar dan dan Sean LJE.

Manakala, barisan penyiasat tetap masih mengekalkan penampilan Mark Adam, Jihan Muse dan Seelan Paul serta dibantu dua lagi penyiasat jemputan.

Menurut Mark, dia menerima tawaran sebagai penyiasat tetap dalam program ICSYVMY kerana ia memenuhi cita rasanya dalam program muzik dan hiburan.

“Program realiti ini ada kaitan dengan dunia muzik dan ia menghiburkan. Selain itu, ia menampilkan elemen kejutan dan tidak dijangka buat penonton.

“Begitu juga barisan artis undangan yang memeriahkan program musim kedua ini seperti Hael Husaini, Khai Bahar, Nabila Razali, Syamel, Floor 88 dan Haqiem Rusli.

“Berbanding musim pertama, kali ini saya sendiri sukar untuk meneka sama ada penyanyi misteri yang ditampilkan dalam program ini boleh menyanyi atau sebaliknya,” katanya.

Program realiti ICSYVMY musim kedua bersiaran di TV3 setiap Ahad, jam 9 malam bermula 23 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 5:30 AM