ISMEE Ismail pada sambung perbicaraan dengan sesi pemeriksaan utama beliau membabitkan dana SRC International.
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC International), Tan Sri Ismee Ismail, 54, bersetuju di Mahkamah Tinggi di sini, semalam terdapat kemungkinan dua individu dalam syarikat itu melakukan penipuan berhubung perjanjian perniagaan.

Ismee menjawab setuju dengan cadangan peguam Harvinderjit Singh bahawa bekas Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin mungkin terbabit dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil untuk menipu Ahli Lembaga Pengarah (ALP) syarikat itu.

Ia didakwa berhubung perjanjian perniagaan antara Gandingan Mentari Sdn Bhd (Gandingan Mentari) dan Putra Perdana Construction Sdn Bhd (Putra Perdana).

Gandingan Mentari adalah anak syarikat SRC International manakala Putra Perdana anak syarikat Putrajaya Perdana Berhad.

Harvinderjit terdahulu mencadangkan soalan bahawa ALP SRC International tidak dimaklumkan berhubung perjanjian Gandingan Mentari melabur RM140 juta dalam Putra Perdana.

HARVINDERJIT: Saya cadangkan Gandingan Mentari memasuki perjanjian dengan Putra Perdana dan membahagikan keuntungan 70:30 bagi pelaburan dalam aktiviti perlombongan di Amerika. Perkara ini tidak dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah?

ISMEE:Tidak

HARVINDERJIT: Saya cadangkan (Datuk) Suboh terbabit dengan Nik Faisal berhubung perkara ini?

ISMEE:Ya


NAJIB Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terdahulu, Ismee bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa Lembaga Pengarah tidak memberi sebarang mandat kepada Nik Faisal mendapatkan jaminan kerajaan bagi dana daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak RM2 bilion.

Saksi ke-39 itu juga bersetuju dengan soalan Harvinderjit bahawa RM2 bilion itu dikeluarkan daripada bank tanpa kebenaran daripada Lembaga Pengarah.

HARVINDERJIT: Wang itu dimasukkan ke dalam akaun pada Mac 2012 dan dikeluarkan pada bulan sama. Lembaga Pengarah tidak meluluskan perkara ini?

ISMEE: Ya

HARVINDERJIT: Ini adalah penipuan serius?

ISMEE: Ya

Menjawab soalan Harvinderjit berhubung pembabitan Suboh, Nik Faisal, Pengarah Kewangan 1Malaysia Developmnent Berhad (1MDB), Terrance Geh dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Casye Tang dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, Ismee berkata, beliau hanya mengetahuinya selepas skandal 1MDB tersebar.

Perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersambung hari ini di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 5:30 AM