RAJA Yunika Putri (kiri) serta laporan polis dibuat selepas mendakwa wangnya dicuri artis lelaki Singapura yang menempa nama di Malaysia.
Suraya Roslan dan Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


PELAKON Indonesia, Raja Yunika Putri mendakwa menjadi mangsa kecurian artis lelaki Singapura yang menempa nama di Malaysia ketika berada di sebuah kelab malam di republik itu, pada 7 Jun lalu.

Yunika menerusi portal berita haluankepri.com mengakui berjumpa dengan artis terbabit di Clarke Quay, Singapura.

“Pada masa itu saya berjumpa dengan dia di Clarke Quay, Singapura.

“Saya kemudian pergi membuat bayaran di kaunter dengan meninggalkan beg mengandungi wang dan barang berharga di tempat duduk,” dakwanya.

Yunika mendakwa, kira-kira 2 pagi waktu tempatan, artis lelaki berkenaan mengucapkan selamat tinggal dan memberitahu mahu pergi ke suatu tempat untuk bertemu rakannya.

“Tidak lama selepas artis itu pergi, saya mengambil dompet dalam beg. Malangnya, sejumlah wang dalam mata wang dolar Singapura dan rupiah saya hilang.

“Sudah pasti saya mengesyaki artis terbabit mengambilnya berikutan sebelum itu beg saya berada di tempat duduk.

“Saya ada memberitahunya mahu melaporkan kejadian kepada polis, namun dia mencabar saya supaya terus melaporkannya,” katanya.

Yunika berkata, dia melaporkan kejadian itu kepada polis Singapura dan kini kes itu dikendalikan oleh polis republik itu.

“Tidak lama selepas kejadian itu, dengan bantuan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) saya melaporkan kejadian itu kepada polis dan kini kes itu dikendalikan polis Singapura.

“Kes ini mendapat perhatian Atase Nasional Polis Singapura, Joko Setiono,” kata Yunika.

Katanya, kejadian itu memberinya pengalaman berharga supaya jangan mudah percaya kepada orang walaupun seorang selebriti.

Ditanya berapa jumlah kerugian dicatatkan, Yunika tidak mendedahkannya kerana jumlahnya tidak penting.

“Bagi saya, berapa pun jumlahnya bukan perkara utama, tetapi masalah moral dan harga diri.

“Bagaimana seorang yang cukup dikenali boleh mengambil tindakan memalukan terhadap seorang wanita,” katanya.

Yunika turut mengucapkan terima kasih kepada Syed Saddiq kerana membantunya sehingga kes berkenaan mendapat perhatian polis Singapura.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada YB Syed Saddiq. Kerana peranannya, insiden ini boleh sampai ke polis Singapura.

“Selepas kejadian itu, saya segera menghubungi beliau dan atas cadangannya saya diminta melaporkan kepada polis,” katanya.

Dia yang terkenal membintangi filem Cinta Palsu Suaminya berkata, pada mulanya dia tidak tahu apa perlu dilakukan di negara orang.

“Pada awal kejadian, saya kecewa dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tetapi saya menghubungi Syed Saddiq yang saya kenal beberapa lama dulu.

“Syukurlah dia memberi maklum balas dan meminta saya melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan artis terbabit bagaimanapun gagal apabila telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi manakala WhatsApp tidak dibalas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 9:17 PM