ORANG Asli suku kaum Batek di Kampung Aring 5. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

MASYARAKAT Orang Asli suku Batek di Kampung Aring 5, Gua Musang tersinggung apabila mereka dituduh berbau busuk dan pengotor.

Penduduk mendakwa, walaupun tuduhan itu ditujukan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh tetapi mereka turut berasa tempiasnya.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Orang Asli (MPKOA) Aring 5, Asrul Husin berkata, penduduk suku itu di Kampung Kuala Koh adalah sama dengan Kampung Aring 5.

Menurutnya, ia kerana mereka adalah daripada suku Batek yang sama dan dakwaan berkenaan turut menyebabkan penduduk terasa hati kerana tidak semuanya pengotor.

“Sepatutnya pihak tertentu mencari jalan penyelesaian berhubung masalah dihadapi suku itu di kampung berkenaan.

“Jika benar ada Orang Asli seperti tuduhan itu tetapi janganlah pula buat tuduhan secara umum,” katanya ketika ditemui di Kampung Aring 5, kelmarin.

Menerusi laporan media beberapa hari lalu, ada pihak membuat dakwaan Orang Asli suku Batek berbau busuk dan pengotor.

Ia berikutan kejadian seramai 14 Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh meninggal dunia dipercayai terkena jangkitan radang paru-paru sejak lebih sebulan lalu.


ORANG Asli suku Batek mengenakan topeng muka susulan jangkitan radang paru-paru. FOTO BERNAMA

Mengulas lanjut, Asrul berkata, dia juga ada mendengar kakitangan kerajaan yang datang ke kampungnya menyuarakan perkara sama hingga menyinggung perasaan Orang Asli.

Katanya, ia membuatkan penduduk berasa malu untuk berdepan dengan semua pihak terutama bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Penduduk Orang Asli, Eli Udang, 28, berkata, penduduk kampungnya itu amat menjaga kebersihan diri, ahli keluarga dan kawasan rumah bagi mengelak daripada bau busuk.

Menurutnya, tidak dinafikan ada juga yang berbau busuk tetapi tidaklah semua seperti yang dimaksudkan pihak tertentu.

“Kami sedia menerima teguran itu tetapi biarlah melalui saluran yang betul dan perlu jaga juga perasaan kami,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 8:30 AM