AZIMAH. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my

BELIAU memulakan karier sebagai Penguasa Kastam di Cawangan Import Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor Bahru pada 1984.

Situasi tugas di agensi penguatkuasaan menjadikan karakter dirinya daripada seorang yang sederhana kepada pegawai yang tegas.

Hampir 35 tahun bertugas dalam pelbagai jabatan, beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) dan di bahunya kini terpikul amanah diberikan Kementerian Kewangan dalam menyasarkan kutipan hasil RM1 bilion melalui pembanterasan penyeludupan rokok dan minuman keras.

Ikuti temubual wartawan Mohd Firdaus Ibrahim dan jurugambar Zulfadhli Zulkifli bersama Datuk Azimah Abd Hamid mengenai harapan dan tanggungjawabnya sebagai orang kanan dalam Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Rokok dan minuman keras adalah dua komoditi paling banyak diseludup atau ‘lari’ cukai. Mengapa keadaan ini berlaku?

Dua komoditi terbabit akan menjadi fokus utama Penguatkuasaan JKDM tahun ini.

Bagi penyeludupan rokok, sepanjang empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 603 kes rampasan direkodkan membabitkan 201 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM148 juta.

Pindaan Akta Kastam berhubung penalti lebih tinggi berkuatkuasa 2 Januari 2019 telah menampakkan impak hasil bagi rokok meningkat untuk tempoh sama (Januari-April) iaitu sebanyak 3.10 peratus dan membabitkan peningkatan hasil bagi komoditi rokok sebanyak RM36.2 juta.

Bagi minuman keras pula, untuk tempoh sama, 279 kes direkodkan di seluruh negara membabitkan rampasan sebanyak 2.6 juta liter. Jumlah cukai direkodkan pula sebanyak RM21.1 juta. Manakala jumlah hasil sebanyak RM851.6 juta. Berbanding tempoh sama tahun lalu, hasil meningkat sebanyak RM146.8 juta atau 20.8 peratus.

Kedua-dua komoditi ini berjaya menyumbang peningkatan pungutan hasil JKDM sebanyak 23.9 peratus untuk empat bulan pertama tahun ini.


Apakah modus operandi terkini kegiatan penyeludupan rokok?

Kita dapati kegiatan penyeludupan rokok ini merangkumi tiga mod iaitu penyeludupan di laut, darat dan udara. Kebanyakan merangkumi laut dan darat. Berdasarkan senario, apabila kita bertindak mengenakan lesen import (AP) bagi setiap kemasukkan dagangan ke negara ini, kita mengesan berlakunya penyalahgunaan AP. Contohnya, AP minuman keras mahupun rokok, dalam AP bawa (import) barang lain tetapi ikrar barang jenama lain. Kedua, penyeludupan rokok yang kemasukan melalui kontena, sindiket mengguna modus operandi iaitu tidak mengisi penuh satu-satu kontena itu atau barangan diikrar bercampur-campur. Terdapat juga penyeludupan rokok menggunakan borang K8 (transhipment) dengan menggudang barang di pelabuhan dengan tujuan dieksport tetapi barangan seludup itu dibawa keluar dari pelabuhan. Baru-baru ini kita perolehi kes rokok dan minuman keras cuba diseludup menggunakan pengikraran barang pindah dan barangan terpakai (used personal effects).

Walaupun diakui sempadan laut dan pantai negara adalah luas, namun penguatkuasaan tetap dijalankan bagi membanteras kegiatan penyeludupan rokok ini.

Apabila kita banteras penyeludupan, timbul pula kegiatan sindiket menggunakan setem cukai palsu pada kotak rokok.

Setem cukai palsu?

Setiap rokok sah perlu dilekatkan setem cukai tertera logo kastam bagi menunjukkan ia sudah dibayar cukai. Sindiket akan menggunakan setem cukai palsu yang hampir sama dengan setem cukai kastam. Jadi, orang awam sukar membezakannya.

Namun, JKDM ada peralatan khas yang mampu mengesan sama ada ia (setem cukai) palsu atau sebaliknya. Ini antara kaedah digunakan sindiket untuk memanipulasi atau memperdaya penguatkuasaan jabatan.

Berdepan dengan situasi mencabar ini, kita juga sudah menetapkan had minimum pembelian setem cukai kepada syarikat pengimport atau pembekal rokok. Dengan mewujudkan had tertentu dan tempoh tertentu yang perlu digunakan, ia diharap dapat mengelakkan penipuan setem cukai berkenaan.

Kementerian Kewangan sasarkan ekstra RM1 bilion hasil komoditi rokok. Adakah JKDM mampu menjayakannya dan di manakah kita sekarang?

Dalam situasi sekarang (2019) terdapat juga dasar mengenai penggunaan rokok di tempat awam yang memberi sedikit kesan ke atas permintaan rokok. Namun, penguat kuasa kastam berusaha sedaya upaya untuk mencapai sasaran tersebut, namun ada beberapa halangan dan kekangan seperti kekurangan peralatan yang berteknologi tinggi.

Perbandingan prestasi duti rokok bagi tempoh tiga tahun kebelakangan iaitu 2016, 2017 dan 2018, pencapaiannya tidak jauh beza. Paling tinggi RM350 juta purata diperoleh pada ketiga-tiga tahun berkenaan. Kalau nak dapat ekstra RM1 bilion hasil rokok pada tahun ini memang saya akui amatlah sukar dan mencabar jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Namun, di peringkat jabatan, kita menyasarkan kutipan cukai atau hasil RM7.01 bilion bagi dua komoditi terbesar iaitu rokok dan minuman keras. Setiap tahun kita kutip anggaran RM5.5 bilion hingga 5.7 bilion.

Kalau nak tambahan atau capai ekstra RM1 bilion seperti ditetapkan, JKDM perlu memastikan pungutan konsisten sekurang-kurangnya RM585 juta sebulan. Dua komoditi ini kita telah memungut hasil rokok dan minuman keras sebanyak RM2.06 bilion dalam tempoh empat bulan pertama. Jika momentum itu dikekalkan, kita mungkin dapat pungut sekitar RM6 bilion sahaja.

Di Malaysia, terdapat lebih 50,000 outlet menjual rokok yang perlu dipantau atau disekat agar tidak menjual rokok seludup.

Tindakan itu kita harap memberi impak di samping penguatkuasaan ketat di pintu masuk utama negara sama ada di sempadan, pelabuhan dan lapangan terbang.

Di samping itu, kita berusaha meningkatkan integriti dalam kalangan pedagang dan membanteras sindiket. Kita juga tidak berkompromi jika ada pembabitan pegawai dengan sindiket.

Usaha menyekat sindiket penyeludupan diharap dapat memberikan kejayaan positif kepada jabatan dan kutipan hasil cukai negara. Saya juga berharap, pihak pengimport dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan patuh kepada undang-undang dan peraturan ditetapkan.

Pindaan Seksyen 135 (1) (i) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman lebih berat iaitu denda sehingga RM1 juta dan penjara minimum enam bulan. Adakah ia memberi kesan kepada proses penguatkuasaan dan kegiatan penyeludupan rokok seludup?

Ya, memang berkesan. Sejak pindaan akta itu dikuatkuasakan, impaknya sangat positif. Kita difahamkam sekarang ini harga rokok seludup di pasaran adalah RM9 sekotak iaitu jauh lebih tinggi daripada harga sebelumnya.

Difahamkan, daripada penjual rokok sah di pasaran, penjualan rokok sah juga meningkat. Kejayaan itu tidak datang dengan mudah, sebaik pindaan akta itu diluluskan, kita terus membuat dasar iaitu bagi tangkapan rokok dan minuman keras, kita tidak lagi kenakan kompaun sebaliknya melakukan pendakwaan di mahkamah.

Empat bulan pertama iaitu dari Januari hingga April 2019 sebanyak 882 kes bagi minuman keras dan rokok direkodkan di seluruh negara. Saya perincikan di sini, daripada 882 kes, sebanyak 603 kes membabitkan komoditi rokok manakala 279 bagi minuman keras direkodkan. Mulai 2 Januari 2019, sebanyak 470 kes tangkapan rokok dilakukan iaitu 290 bagi kes rokok selebihnya 180 kes adalah minuman keras. Dalam tempoh empat bulan, kita sudah selesai membawa sebanyak 297 kes ke mahkamah (193 rokok/104 minuman keras). Daripada jumlah itu, seramai 88 orang kena tuduh ataupun suspek mengaku bersalah bagi kes penjualan rokok seludup bagitu juga kes minuman keras 48 orang mengaku bersalah. Lain-lain kes mohon dibicarakan. Ini antara komitmen dan usaha JKDM terutamanya Bahagian Penguatkuasaan bagi memerangi kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa.

Sebagai wanita diberi mandat mengetuai bahagian paling utama di JKDM, apa sasaran peribadi Datuk untuk jabatan?

Mengetuai Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan ini memang mencabar dan saya sedia menghadapinya. Harapan saya warga Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan di bawah saya mereka memiliki integriti tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab kerana Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM adalah benteng akhir jabatan dalam memastikan hasil dipungut dengan tepat dan memastikan ketirisan hasil berada di tahap paling minimum. Saya yakin jabatan akan terus berjaya sekiranya semua warga JKDM mahupun pihak yang berurusan dengan JKDM mempunyai tahap integriti yang tinggi. Mengekalkan tahap integriti pegawai bukan suatu yang mudah dan perlu sentiasa diterap dan dipupuk. Sebagai warga JKDM di barisan terakhir jabatan dan saya tidak mahu seperti mengatakan pepatah ‘Harap pagar, pagar makan padi’ berlaku. Harapan saya ini bukanlah kepada bahagian diterajui oleh saya sahaja sebaliknya di semua bahagian agar kita dapat hilangkan tohmahan bahawa pegawai kastam tak beramanah dan sebagainya. Secara peribadinya, saya tidak sokonglah tohmahan berkenaan kerana bukan semuanya pegawai jabatan terbabit dengan salah laku. Bukan semuanya melakukan perbuatan keji itu. Pengurusan tertinggi tidak berkompromi dalam isu integriti ini. Betapa sukarnya pegawai kastam untuk membina atau mendapatkan sesuatu kes, kita bersabung nyawa untuk laksanakan tanggungjawab berkenaan. Jauh disudut hati saya sumbangan pegawai-pegawai JKDM atau khidmat yang kami curahkan sangat besar sebenarnya.

Pegawai kastam bukan hanya kutip hasil semata-mata. Fungsi kami lebih dari itu iaitu memberi fasilitasi perdagangan bagi pembangunan ekonomi dan menjaga keselamatan masyarakat melalui pemantauan kemasukan barangan yang boleh merosakkan masyarakat. Saya amat positif, dengan kesungguhan pegawai dan ‘perang’ terhadap sindiket penyeludupan akan mampu mengembalikan imej jabatan dan menyelamat hasil negara. Perang operasi memburu sindiket akan berterusan sama ada di outlet mahupun di pintu-pintu masuk negara akan diperhebat dan dipergiat lagi dalam mengekang kegiatan penyeludupan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 8:04 AM