ROSANA dan Kacyla dilaporkan sanggup membunuh anak sendiri. FOTO Agensi
Agensi

BRASILIA: Seorang wanita 27 tahun bersama teman wanitanya di Samambaia, dekat sini, bertindak kejam memenggal kepala anak lelakinya berusia sembilan tahun selepas menikam mangsa 12 kali apabila budak itu memberitahu dia mahu menjadi perempuan

Menurut laporan Daily Mirror, selepas membunuh budak berkenaan, Rhuan, pada 31 Mei lalu, ibunya Rosana Candido dan Kacyla Pessoa, 28, melapah kulit muka, mengorek mata serta memotong tubuh mangsa bagi mengelak mayat anaknya dikenali pasti.

Menurut polis, Rosana dan Kacyla adalah pasangan lesbian. Rosana membawa lari anaknya itu daripada suaminya kira-kira lima tahun lalu.

Akhbar O Tempoh melaporkan, mereka juga cuba membakar sebahagian anggota tubuh mangsa tetapi gagal lalu memasukkannya ke dalam beg pakaian yang dibuang ke dalam pembetung.

Bahagian tubuh lain mangsa ditemui dalam dua beg galas di rumah mereka di Samambaia kira-kira 32 kilometer dari Brasilia awal minggu ini.

Kedua-dua wanita itu yang mengaku melakukan pembunuhan itu kepada polis, menghadapi tuduhan membunuh, menyeksa dan menyembunyikan mayat.


RHUAN. FOTO Agensi

Dua wanita itu memberitahu polis, mereka melakukan jenayah kejam itu kerana Rhuan ‘mahu menjadi perempuan’.

Pasangan itu juga menghadapi tuduhan memotong zakar mangsa melalui ‘pembedahan sendiri’ di rumah mereka setahun lalu.

Rosana juga menganggap anaknya sebagai beban serta membenci mangsa kerana Rhuan lahir akibat dia dirogol.

Bapa kanak-kanak itu yang tinggal di Acre memberitahu polis, selepas melarikan diri bersama Rhuan, Rosana tinggal bersama Kacyla yang mempunyai anak perempuan sembilan tahun.

Ketua Polis, Guilherme Melo, berkata: “Dia bukan saja membunuh anaknya malah melapah, memenggal, menyiat kulit dan cuba melupuskan mayat. Ia kes yang mengerikan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 7:30 AM