SEORANG lelaki warga Afrika patah kaki selepas terjun dari tingkat sebuah pangsapuri ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis. FOTO Ihsan Pembaca
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


SEKUMPULAN lelaki warga Afrika menyamun seorang wanita di tepi Jalan Cheras Mewah, Taman Cheras Mewah, Batu 9, Cheras di Kajang, petang semalam.

Empat suspek yang melarikan diri dalam kejadian 4.30 petang itu bagaimanapun berjaya dijejaki polis awal pagi hari ini sebelum ditahan di sebuah pangsapuri dekat Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

Dalam serbuan yang dijalankan kira-kira 5 pagi itu, suspek cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga pangsapuri menyebabkan seorang daripada mereka patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam kejadian samun berkenaan, warga Afrika berkenaan dikatakan melarikan telefon bimbit dan beberapa dokumen mangsa.

“Kami menerima laporan polis daripada seorang wanita mendakwa disamun empat lelaki warga Afrika.

“Suspek dikatakan tidak bersenjata dan cuba melarikan beg tangan wanita berkenaan yang diletakkan di dalam kenderaan.

“Bagaimanapun, teman lelaki mangsa sempat merampas semula beg tangan itu, namun telefon bimbit dan beberapa dokumen penting milik mangsa dilarikan dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, berpandukan maklumat orang awam, polis membuat serbuan di sebuah pangsapuri dekat Bandar Tun Hussein Onn, namun suspek cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga pangsapuri sebaik menyedari kehadiran polis.

“Dua suspek ditahan dengan seorang daripada mereka patah kaki dan kini ditahan di wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Polis masih mengesan dua lagi suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Broline Benson di talian 019-6938032.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 9:57 PM