SYAFINAZ
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


NAMANYA lebih dikenali sebagai guru vokal dan juri program realiti TV popular Mentor berbanding karier nyanyian yang diceburi sejak tiga dekad lalu.

Namun penyanyi terkenal Datuk Syafinaz Selamat, 46, tetap mencintai bidang nyanyian yang sudah sebati dengan dirinya sejak kecil.

“Saya akui orang nampak pembabitan dalam bidang seni lebih menyerlah sebagai guru vokal dan juri program Mentor.

“Pada masa sama, saya juga sudah lebih 10 tahun tidak buat persembahan di televisyen,” katanya.

Hakikatnya, kata Syafinaz, dia masih memenuhi undangan persembahan untuk majlis makan malam korporat dan persendirian sampai sekarang.

“Saya masih terbabit persembahan bersama Koir Kebangsaan dan Permata,” katanya.

Bagaimanapun, kata bekas Mentor musim ketujuh itu, dia tetap tidak melupakan tanggungjawab terhadap dua anak didiknya, Lazarul dan Ranisha selepas program realiti itu tamat akhir tahun lalu.

“Sebagai Mentor, pastinya saya mahu melihat dua protege berjaya mengembangkan bakat dalam bidang muzik dan nyanyian.

“Jika nyanyian secara solo, saya hanya buat persembahan secara sendirian di pentas. Sedangkan saya minat menyanyi secara vokal harmoni kerana ia dekat dengan jiwa serta buat saya gembira.

“Sebab itu saya berasa seronok jika menyanyi dengan protege di pentas,” katanya.

Mengulas mengenai keistimewaan lagu raya, RahmatNya pula, kata Syafinaz, ia menyaksikan gandingannya dengan Lazarul dan Ranisha buat julung kalinya.

“Saya bersyukur kerana dapat menghasilkan single yang menyaksikan keserasian vokal kami bertiga. Proses rakaman single ini juga mudah dan hanya mengambil masa tiga jam sahaja kerana dua protege ada ilmu dalam bidang muzik.

“Lazarul sudah biasa menyanyi dengan koir kebangsaan dan Ranisya pula dari Sekolah Seni. Kedua-dua protege sudah biasa dengan penulisan muzik.


SYAFINAZ tidak sia-siakan vokal dimiliki Lazarul dan Ranisha.

“Saya juga hanya hantar voice note saja dan susunan muzik juga saya yang buat. Proses kerja lancar seperti yang direncanakan,” katanya.

PERTARUH LAGU RAYA DENGAN DUA PROTEGE

Sebagai anak didik, Lazarul mengakui dirinya bertuah dapat bergandingan dengan Syafinaz menerusi lagu raya itu. Menurut pemilik nama sebenar, Lazarul Afiezy Zakaria, 29, dia berharap lagu raya itu menjadi batu loncatan untuknya meneruskan langkah dalam karier nyanyian.

“Saya bersyukur dan teruja kerana Syafinaz tidak pernah melupakan kami sebagai anak didiknya selepas Mentor berakhir.

“Saya berharap gandingan dengan Syafinaz menerusi lagu raya ini membantu memperkenalkan lagi nama kepada peminat,” katanya.

Ditanya cabaran ketika proses rakaman lagu RahmatNya pula, kata Lazarul, ia berlangsung pada minggu pertama Ramadan lalu.

“Saya berasa gementar kerana Syafinaz sangat mementingkan kesempurnaan ketika bekerja di studio. Syafinaz juga seorang yang profesional, jika kita tidak bagus dia akan beritahu terus terang.

“Saya juga sudah berlatih lagu lebih awal dan proses rakaman juga mudah kerana sudah biasa menyanyi secara harmoni kerana Syafinaz juga pensyarah ketika saya menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara),” katanya.

Sementara itu, Ranisha juga bersyukur kerana dapat bergandingan dengan Syafinaz dan Lazarul menerusi lagu RahmatNya itu.

Walaupun mempunyai pendidikan rasmi dalam bidang muzik, Ranisha atau nama sebenarnya Farranisha Shazwany Mohd Faizul, 19, tetap berasa gementar ketika merakamkan lagu itu.

“Pastinya saya berasa takut untuk merakamkan lagu dengan guru vokal terkenal seperti Syafinaz. Saya juga terpaksa ulang banyak kali rakaman satu baris lagu yang membabitkan vokal harmoni.

“Berkat bimbingan Syafinaz, ia berjaya dilakukan sebaik mungkin dan saya harap gandingan kami diterima peminat,” katanya.

Bekas juara Program Idola Kecil musim kelima dari Labuan, Sabah itu baru sahaja menamatkan pengajian di Sekolah Seni Malaysia di Sarawak pada 2017.

“Saya bukan sahaja mahu dikenali sebagai penyanyi, tapi juga penulis lirik. Oleh itu, saya mahu menyambung pengajian dalam jurusan Asasi Seni Kreatif di Aswara tahun ini.

“Apa yang penting, saya perlu bijak membahagikan masa antara karier nyanyian dan pelajaran supaya bergerak seiring,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 5:00 AM