ELIZAD lali disoal cahaya mata.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


RAMADAN dan Syawal yang diraikan baru-baru ini memberi makna berbeza buat pelakon popular Siti Elizad. Masakan tidak, lakonannya menerusi watak Nia dalam drama Aku Yang Kau Tinggalkan di slot Widuri, TV1 menjadi sebutan ramai dan trending di Twitter.

Diakui, kredibiliti lakonan Siti Elizad, 35, atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin terutama dalam melakonkan watak air mata tidak perlu dipertikaikan lagi.

Kejayaan Siti Elizad atau mesra disapa Ejad melakonkan watak itu selain dibantu jalan cerita yang menarik, sekali gus mengetepikan beberapa drama lain yang turut ditayangkan sepanjang Ramadan lalu.


TAK sangka drama Aku Yang Kau Tinggalkan jadi sebutan ramai hingga trending di Twitter.

“Ketika dapat tawaran ini saya beranggapan mungkin orang takkan tengok sebab ia ditayangkan di TV1. Bagaimanapun, jangkaan saya meleset apabila dari sehari ke sehari banyak pula maklum balas diterima.

“Antara faktor kenapa mereka tertarik untuk menonton kerana mereka sukakan gandingan saya dan Ungku. Setiap hari orang ‘tweet’ dan memuat naik di IG. Ia membuatkan saya gembira.

“Saya pula dalam drama Aku Yang Kau Tinggalkan memang beria-ia menangis bagai nak gila. Diakui penat melakonkan watak ini. Orang pula pertikai mengenai kewujudan karakter isteri dan wanita ditindas pada zaman sekarang.

“Mereka tak tahu, watak sebegini masih ada dalam masyarakat, malah ada yang kena lebih teruk lagi. Bagi menghidupkan watak ini, saya buat kajian macam mana kalau orang kampung berkahwin dengan orang kaya. Ia lebih kepada patuh, menangis dan merintih seorang diri,” katanya.


ELIZAD bersama suami

Elizad yang pernah muncul dalam filem Berlari Ke Langit menganggap sambutan diterima drama terbitan Global Station Sbn Bhd itu adalah rezeki untuknya.

Malah, turut membuatkan dirinya terkejut apabila watak dan drama itu mampu bersaing dengan drama lain yang menampilkan pelakon muda dan baru.

“Memang terperanjat sebab ketika drama ini ditayangkan ia bersaing dengan drama di slot lain. Mungkin orang tengok drama ini sebab cerita sedih. Tapi, saya anggap ini rezeki sebab dapat sambutan.

“Saya ada dengar juga yang mana setiap kali Ramadan pihak TV1 memilih sikit untuk drama yang bakal ditayangkan kepada penonton.

“Apa pun, terima kasih kepada pihak Global Station yang menawarkan watak ini dan menjaga dengan baik sepanjang penggambaran. Lebih penting, kejayaan drama ini juga datangnya daripada kerjasama semua pihak iaitu pengarah, kru dan pelakon,” katanya.

Mengenai gandingannya bersama Ungku Ismail, Elizad berkata, dia seronok apabila dapat berlakon sekali lagi dengan pelakon itu.

Sebelum ini gandingan mereka pernah mencetuskan fenomena menerusi drama Teman Lelaki Upahan.

“Sebenarnya, saya dengan Ungku selalu digandingkan bersama. Namun, apabila ada yang mengkritik mengatakan lakonan Aedy Ashraf lebih bagus daripadanya, dia terasa hati.


ANGGAP rezeki drama dapat sambutan.

“Dia tanya saya adakah kami tak serasi. Saya jawab, ia tak betul dan abaikan sahaja apa yang orang cakap.

“Saya anggap berlakon dengannya mudah. Memang tak ada masalah. Saya pula jenis tak kisah kalau orang nak cakap apa pun. Malah, saya lebih suka kalau ada yang memberikan maklum balas positif atau negatif. Sebab orang memperkatakan drama ini, tetapi saya takkan balas balik atau ambil serius,” katanya.

LALI DITANYA SOAL CAHAYA MATA

Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Elizad dan suami, Shamsul Baharin Rahman meraikannya di Kuala Lumpur sebelum bercuti ke Pulau Pinang.

“Seperti biasa, saya dan suami beraya di Kuala Lumpur. Sudah menjadi rutin setiap tahun, selepas raya pertama kami bertolak ke Pulau Pinang. Sambil menziarahi sanak saudara, kami terus bercuti.

“Tahun ini, kurang sikit yang bertanya soal anak sebab tak berjumpa saudara-mara jauh. Mereka pulang ke sebelah mentua masing-masing. Jadi, saya ‘selamat’ sikit.

“Tapi, kalau ada yang bertanya pun saya sudah biasa dan lali. Saya okey sahaja dan tak ambil hati pun. Bagi saya, buat apa nak terasa. Cuma, jangan memberikan kata-kata sinis. Saya pun ada hati dan perasaan,” katanya.

Perkembangan lain, Elizad kini terbabit penggambaran drama panjang Puteri Yang Ditukar iaitu adaptasi daripada sinetron Indonesia yang menggunakan judul serupa.

“Setiap kali dapat tawaran saya anggap rezeki. Saya tak memilih pun. Mana-mana saya okey. Orang lebih suka letakkan saya watak sedih. Apabila dapat drama episod, orang suka layan. Jadi saya ikut sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 5:30 AM