Muhamaad Razis IsmailMohd Zulkifli ZainuddinRamli Ibrahim dan Baharom Bakar dan Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


GUA MUSANG: Lapan kubur Orang Asli Batek dari Kuala Koh di sini, sudah dijumpai setakat petang semalam, menjadikan baki empat lagi dalam pencarian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, empat kubur terbaharu ditemui pasukan pencarian yang meneruskan operasi pada jam 8.30 pagi semalam.

Sebelum itu, empat kubur Orang Asli yang ditemui kelmarin, dikenal pasti sebagai Din Hamdan, 18, Safia Papan, 18, Fayah Papan, 19, dan Jais Keladi, 55.

Katanya, semua mayat ditemui di atas pelantar yang dibina di atas pokok.

“Identiti penemuan terbaharu ini belum dikenal pasti memandangkan pasukan hanya menandakan lokasi tanpa menurun atau membuka tikar mengkuang yang menutup mayat.

“Tiga pasukan pencari menemui kubur ini bermula 150 meter dari penempatan Orang Asli Batek. Pasukan perlu berjalan tiga jam sebelum menemui kubur kelapan untuk ditandakan.

“Operasi akan diteruskan esok (hari ini) bagi mengesan baki empat lagi kubur mereka yang jauh di pedalaman termasuk satu kubur yang dikatakan perlu menyeberangi Sungai Lebir,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Operasi mengesan 12 kubur Orang Asli Batek itu digerakkan bagi mencari bukti kukuh kematian etnik itu yang dikaitkan dengan radang paru-paru, selepas dua orang yang dilapor meninggal dunia, disahkan akibat jangkitan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Taufik berkata, polis menggali semula kubur Orang Asli suku Batek, Romin Hamdan, 29, yang meninggal dunia pada 29 Mei lalu akibat radang paru-paru untuk dibedah siasat buat kali kedua.

Katanya, mayat dikebumikan mengikut cara Islam di Kampung Kuala Koh sejak 30 Mei lalu sudah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses selanjutnya pada jam 3.30 petang semalam.

“Jenazah Romin sebenarnya sudah dibedah siasat selepas dilaporkan meninggal, dan pada hari ini, kita gali semula untuk melakukan ujian selanjutnya.

“Seorang lagi mangsa yang belum dipastikan dikebumikan dengan cara Islam atau sebaliknya turut akan digali nanti,” katanya.


ANGGOTA Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menanti perkembangan terbaru usaha membawa keluar empat mayat Orang Asli suku Batek.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berkata, buat masa ini, keadaan di perkampungan Orang Asli Kuala Koh masih terkawal dan mereka sudah diberi bekalan makanan, minuman dan kelengkapan secukupnya.

Ditanya mengenai gesaan memindahkan penduduk berkenaan, katanya, tindakan itu tidak perlu dilakukan kerana bimbang mereka tidak selesa dan pihaknya tidak mahu memberi tekanan pula nanti.

“Kita kena faham suku Batek ini berbeza dan mereka mungkin tidak selesa serta kita tidak mahu beri tekanan. Kementerian Kesihatan juga melakukan pemeriksaan.

“Cuma, atas nasihat Kementerian Kesihatan, orang awam tidak dibenarkan masuk supaya tidak berlaku penularan wabak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 5:01 AM