Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


PERTUBUHAN Kebajikan Kembara Insani berusaha mendekati asnaf, gelandangan dan masyarakat terutama kanak-kanak di luar bandar menerusi projek Hope Soap iaitu agihan sabun mainan percuma kepada golongan berkenaan.

Pengasas Kembara Insani, Hisham Misripin, 50, berkata, projek yang bermula sejak dua tahun lalu itu mengambil inspirasi daripada kejayaan sebuah pertubuhan melaksanakan inisiatif serupa di Afrika Selatan berikutan masalah kulit dihadapi penduduk di sana.

Menurut Hisham, sabun itu dihasilkan sendiri dengan menggunakan bahan asas dan mainan sumbangan orang ramai yang mana lebih 1,200 golongan sasar menerima manfaat sejak projek berkenaan dilaksanakan.

“Sejak ditubuhkan Ogos tahun lalu, banyak program khidmat masyarakat dan kemanusiaan yang dianjurkan dan ia secara tidak langsung memberi peluang kepada kami untuk mendekati masyarakat termasuk asnaf di kawasan luar bandar.


HISHAM bersama isterinya, Shahrul Zariah Md Sharif, 47, melaksanakan projek Hope Soap.

“Berdasarkan pemerhatian kami, aspek kebersihan kurang dititikberatkan jadi kami rasa bertanggungjawab melaksanakan projek ini dengan tujuan mendidik dan memberi kesedaran menerusi agihan sabun.

“Menariknya, sabun itu dihasilkan sendiri dan mainan di dalamnya adalah tarikan serta motivasi untuk kanak-kanak menggunakannya ketika mencuci tangan atau mandi kerana kebanyakannya tidak cenderung berbuat demikian,” katanya.

Hisham berkata, di samping menitikberatkan soal kebersihan, pelaksanaan projek itu juga memberi peluang untuknya dan ahli pertubuhan berdakwah dengan cara yang santai termasuk kepada bukan Muslim di kawasan dikunjungi.

“Salah satu perkara dituntut di dalam Islam adalah menjaga kebersihan jadi kita tekankan soal itu menerusi projek ini supaya mereka tahu kepentingannya dan menjadikan rutin mandi sebagai cara membersihkan diri sebelum mengerjakan solat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 6:10 AM