LANA bersyukur sambutan Aidilfitri tahun ini meriah ditambah lagi adanya rumah baru.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


SEBELUM kedatangan Syawal, dramatis Mazlina Hasan Nodin atau Lana dan suami, David McKienzie berdepan dugaan besar apabila anak kedua mereka, William Daud McKienzie atau Billy mengalami masalah jantung.

Malah, ketika menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) Februari lalu, pasangan itu berdepan detik cemas apabila jantung Billy berhenti berdegup selama 10 minit.

Bagaimanapun, doktor dapat menangani masalah itu dan ia tidak memberikan kemudaratan kepada anak kecil itu.

Billy menjalani prosedur baloon valvuloplasty berikutan masalah injap sempit (aortic stenosis) sejak dilahirkan.

Ketika berkongsi cerita mengenai situasi yang dialami Billy, Lana berkali-kali memanjatkan rasa syukur puteranya itu dilindungi Allah dan selamat. Tiada masalah lain timbul selepas jantung Billy berhenti berdegup seketika.


LANA bersama Billy

Dugaan itu cuba ditempuhi Lana dan suaminya dengan penuh sabar dan reda. Bibir pasangan ini tidak putus berdoa, begitu juga orang sekeliling dan peminat.

Doa mereka dimakbulkan Ilahi dan pastinya David terpana dengan keajaiban itu. Selepas pembedahan, Billy menunjukkan perubahan positif apabila tahap kesihatan jantungnya semakin baik.

Situasi itu memberikan kelegaan kepada Lana dan David, malah mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan tenang dan meriah.

Menurut Lana, ini adalah kali kedua dia dan David dapat menyambut lebaran di samping keluarga tersayang di Malaysia.

“Diakui ini adalah sambutan paling meriah buat kami sekeluarga kerana Billy semakin sihat. Setiap hari saya berdoa moga Allah merahmati Billy dan menyembuhkan penyakitnya. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya,” katanya.

Lebih istimewa kata Lana lagi, tahun ini dia dapat beraya di kediaman baru yang melengkapkan lagi sambutan mereka sekeluarga.

“Saya berasakan sambutan Aidilfitri kami lengkap dengan adanya Billy. Ditambah lagi adanya rumah baru, rasa seronok sangat.

“Syukur, rumah kami dapat disiapkan dalam waktu yang ditetapkan. Ini semua rezeki daripada Allah. Ternyata Dia Maha Adil, selepas diuji kini kami diberikan kegembiraan dan dapat melakukan ibadah dan bekerja dengan tenang sepanjang Ramadan serta Aidilfitri disambut dengan meriah,” katanya.

Mengulas lanjut perkembangan Billy, Lana berkata, anak lelakinya itu semakin lasak. Malah, dia tidak bimbang untuk membawa Billy bersama ketika berniaga.


LANA dan David kali kedua dapat sambut lebaran di samping keluarga tersayang di Malaysia.

“Sepanjang Ramadan lalu saya menjayakan jualan bazar di Singapura dan Brunei. Saya bawa Billy bersama. Alhamdulillah, tiada sebarang masalah kerana dia sudah sihat dan kuat. Malah, ramai yang datang ke gerai gembira bertemu Billy,” katanya.

Beralih perihal kerjaya seni, Lana berkata, memandangkan Billy semakin sihat dia tidak keberatan menerima tawaran.

“Tidak dinafikan saya rindu untuk kembali berlakon. Malah, selepas melahirkan Billy saya ada beritahu saya sudah bersedia untuk kembali aktif. Dalam tempoh itu saya ada juga menjayakan beberapa projek terutama sitkom.

“Bagaimanapun, apabila Billy ada masalah jantung dan perlu mendapatkan rawatan, saya terpaksa menghentikan segala aktiviti seni. Saya perlu memberikan tumpuan penuh terhadap Billy dan mahu sentiasa berada di sampingnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 6:00 AM