AWAL, Scha tidak mahu hidup berpura-pura.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


TIDAK dinafikan, gelaran pasangan popular masih kekal relevan menjadi milik Awal Ashaari dan Scha Alyahya.

Ditambah pula selepas kelahiran anak sulung mereka, Lara Alana, ia melengkapkan lagi jenama keluarga ini menjadi keluarga selebriti popular.

Bagaimanapun, ramai tidak tahu apa yang dipamerkan baik di alam nyata mahupun di media sosial, Awal dan Scha atau mesra disapa Schawal ini sentiasa menjadi diri sendiri.

Scha, 36, atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya berkata, dia sekeluarga lebih selesa menjalani kehidupan seperti biasa tanpa cuba memalsukan kehidupan sedia ada.

“Sejujurnya, kami tidak merancang soal jenama pasangan popular ini, malah bukan satu keutamaan untuk mengekalkan gelaran ini.

“Apa yang kami ada ini mengambil masa, bukanlah datang dalam tempoh yang singkat. Jadi apa yang dilakukan sekarang adalah menjadi diri sendiri dan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Jika diikutkan, saya dan Awal memiliki karakter berbeza. Awal lebih kepada penguasaan maklumat dan komunikasi. Saya pula fokus kepada fesyen dan penggayaan. Jadi, kami saling melengkapi dan memperbaiki semua kelemahan untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Malah disebabkan itu, Awal dan Scha kerap mendapat jemputan untuk digandingkan sebagai pasangan pengacara.

Namun menurut Awal, gandingannya dengan Scha sebagai pengacara mungkin sukar meraih keserasian.

“Walaupun kami sudah berkahwin hampir tujuh tahun, bab kerja ada bezanya. Ada ketika, cara kami bercakap dan berfikir berbeza. Walaupun orang kata suami isteri banyak berkongsi perkara, tapi apabila kami di pentas ada saja kelemahannya dan tak serasi,” katanya.

Menurut Awal yang juga bekas pengacara program Melodi, dia perlu mencari keserasian itu jika mahu melihat gandingannya bersama isteri dalam satu program TV.

“Selama ini kami tak pernah terfikir untuk bekerjasama sebagai pengacara sebab lebih selesa secara solo. Kalau sudah ada permintaan, kami perlulah berikan yang terbaik.

“Susah memang susah. Bagi saya, Scha lebih dominan ketika di pentas. Sebab itu saya sering digandingkan dengan pasangan pengacara yang tidak dominan.

“Tapi kami okey saja. Kebimbangan itu lebih pada dia bukan saya. Paling penting sebenarnya, setiap pasangan pengacara perlu bijak memberi dan menerima,” katanya.

Tambah anak

Berkongsi mengenai cahaya mata, Awal dan Scha mengakui tak pernah berhenti berusaha untuk menambah ahli keluarga. Pun begitu pasangan itu belum terfikir menggunakan kaedah dan rawatan alternatif.

“Lara sudah berusia lima tahun. Sudah lama kami mahu tambah anak, apatah lagi usia kami bukan muda lagi. Memang itu yang kami sekeluarga mahukan. Saya memang mahu mengandung.

“Namun buat masa ini belum ada rezeki dan tidak terfikir untuk mencari alternatif lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 5:30 AM