Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


POLIS meminta kerjasama orang awam mengesan seorang wanita dipercayai terbabit dalam insiden mendera dan pukul bayi yang tular di media sosial.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

“Sehubungan itu, PDRM memohon kerjasama daripada orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, belum ada sebarang laporan polis diterima mengenai kejadian terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Orang awam juga boleh menyalurkan maklumat menerusi inbox Facebook (FB) Rasmi PDRM:https://www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia/, Twitter Rasmi PDRM: https://twitter.com/PDRMsia, WhatsApp Jabatan Siasatan Jenayah di talian: 019-3019930 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

Semalam, tular di FB, klip video berdurasi satu minit 33 saat seorang wanita mendera bayi perempuan ketika mahu menukar pakaian bayi malang berkenaan.

Lebih menyedihkan, bayi itu turut dipukul pada bahagian kaki, belakang badan dan ditekan pada bahagian perut berulang kali selain ‘dijerut’ menggunakan baju.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 11:59 PM
RAKAMAN kejadian yang tular di media sosial.