MUHAMMAD UWAIS TAN ABDULLAH
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


PEMUDA ini tidak pernah menduga dia dipilih oleh Allah untuk menjadi umat Nabi Muhammad SAW.

Namun, Muhammad Uwais Tan Abdullah, 23, atau nama sebenarnya Tan Guan Han bersyukur selepas diberi hidayah memeluk Islam pada Mac 2015 apabila dibawa sendiri keluarga angkatnya ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk melafazkan dua kalimah syahadah.

Menurutnya, dia tertarik dengan Islam sejak di bangku sekolah lagi kerana dikelilingi rakan Muslim selain pernah bermalam di rumah mereka pada setiap hujung minggu.

“Pada suatu hari sebelum azan Subuh, saya terjaga dari tidur dan terdengar alunan suci ayat al-Quran dari surau berdekatan dan ketika itu hati dan jiwa saya berasa sangat tenang yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

“Sebaik melafazkan dua kalimah syahadah, saya bertekad untuk menjadi Muslim sejati dan memilih Madrasah Pengajian Islam (MPI) di Kok Lanas untuk mendalami serta mempelajari mengenai Islam,” katanya ketika ditemui di MPI di sini.

MPI atau lebih dikenali dengan nama Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA) adalah sebuah institusi di bawah Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan yang menyediakan pendidikan asas agama kepada anak Orang Asli, mualaf serta golongan tercicir dari arus pendidikan perdana bermula dari usia 12 tahun.

Di sebalik itu, Muhammad Uwais mengakui dia belum mempunyai kekuatan untuk memaklumkan kepada ibunya dia sudah memeluk agama Islam.

“Kadang-kadang apabila saya pulang ke kampung di Tanah Merah menjenguk ibu, saya terpaksa berbohong kepadanya dengan memberitahu yang saya kini bekerja di Kok Lanas.

“Namun, adik-beradik saya pernah menjumpai buku agama di bawah bantal di dalam bilik tidur dan sejak itu mereka mula mengesyaki yang saya menyembunyikan sesuatu tetapi saya tidak memberitahu mereka apa-apa.

“Saya tidak tahu sampai bila terpaksa menyembunyikan perkara ini dan hanya mampu berdoa hati ibu dapat menerimanya secara terbuka selepas mengetahui agama Islam adalah agama baharu yang saya anuti,” katanya.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, selepas setahun dia memeluk Islam, dia dapat membaca al-Quran dengan baik dan lancar hasil tunjuk ajar serta bantuan tenaga pengajar dan rakan di MPI.

“Alhamdulillah, saya berjaya khatam al-Quran dan menghabiskan 30 juzuk bersama rakan yang lain pada Ramadan 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 6:10 AM