Setiap kali cuti umum perayaan, kota utama di negara ini berubah wajah menjadi ‘bandar asing’ disebabkan kebanjiran warga asing.

Masalah ini merebak hingga ke bandar kecil di daerah seperti di Muar, Johor sehingga membuatkan penduduk tempatan bukan sahaja berasa tidak selesa serta takut, malah umpama terasing di tanah air sendiri.

Kebimbangan semakin berganda apabila segelintir daripada warga asing terlibat dengan jenayah selain status kehadiran mereka diragui.

Bagi mengupas isu ini, wartawan Metro Ahad, NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN, jurukamera ZUNNUR AL-SYAFIQ dan juruvideo MUHAMMAD ALLYME AHMAD IZAM menemuramah Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, DATUK KHAIRUL DZAIMEE DAUD.

Warga asing monopoli bandar utama ketika umum Aidilfitri. Pendapat Datuk?

Mereka keluar ke bandar bukan pada musim Aidilfitri sahaja, malah cuti perayaan lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali dan Wesak.

Ini kerana pada hari berkenaan mereka tidak bekerja dan majikan pula memberikan cuti.

Tambah pula, ini sahaja kesempatan yang mereka ada untuk keluar ke bandar bagi menghabiskan masa bersama rakan-rakan.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa memantau perkara ini setiap kali cuti perayaan. Malah, kami akan terus mengadakan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (Pati).

Kami memeriksa warga asing yang keluar ke bandar pada masa itu bagi memastikan tidak berlaku perkara yang boleh menimbulkan rasa ketidakselesaan kepada rakyat tempatan.

Pada pendapat saya, ini adalah fenomena biasa kerana pada hari berkenaan adalah hari cuti umum dan mereka tidak bekerja.

Kita mengetahui pekerja asing ini jika bekerja di sektor pembinaan, mereka tinggal di rumah kongsi dan rumah pekerja.

Bahkan, kita juga melihat sendiri keadaan tempat tinggal mereka yang sekadar mempunyai kemudahan asas.

Sebagaimana rakyat tempatan yang meluangkan masa bersama-sama keluarga di bandar atau tempat menarik pada cuti umum, begitu jugalah warga asing turut mengambil kesempatan sama bersama rakan.

Bagi pekerja asing yang mempunyai permit dan pas pekerjaan yang sah, tidak menjadi kesalahan kepada mereka untuk berada di tempat awam terbabit kecuali sekiranya mereka menimbulkan suasana tidak selesa di bandar berkenaan.

Contoh, minum minuman keras hingga mabuk, serta melakukan aktiviti-aktiviti jenayah kecil. Maka ini satu kesalahan.

Tetapi tidak menjadi kesalahan jika warga asing ini sekadar berjalan-jalan dan keluar makan ataupun beristirahat bersama rakan di KLCC atau lokasi tumpuan lain.

Bilangan yang muncul terlalu ramai. Dari mana agaknya mereka datang atau ‘sembunyi’ sebelum ini?

Sebenarnya mereka tidak ‘bersembunyi’, tetapi berada di penempatan masing-masing.

Warga asing yang bekerja dalam sektor perladangan, mereka tinggal di rumah pekerja di ladang berkenaan yang disediakan majikan. Yang bekerja dalam sektor pembinaan pula tinggal di rumah kongsi dan sebagainya.

Manakala yang bekerja di restoran dan sektor perkhidmatan, sebahagian besarnya tinggal di rumah sewa disediakan majikan.

Istilah di mana mereka ‘bersembunyi’ ini tidak berapa tepat, seperti mana saya maklumkan, mereka keluar ke bandar untuk menghabiskan masa pada cuti umum.

Saya mengakui jumlah yang keluar agak ramai. Setiap kali musim perayaan, banyak akhbar melaporkan mengenai isu ramai warga asing membanjiri ibu kota. Kebanyakan mereka membanjiri lokasi seperti Bukit Bintang, KLCC dan Jalan Raja Laut.

Saya suka menjelaskan di sini bahawa walaupun mereka ramai, tetapi tidak kesemuanya Pati.

Pada perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, saya mengetuai operasi yang disertai bersama pegawai JIM. Kami memeriksa 2,069 warga asing pada hari berkenaan dan hanya 255 daripada jumlah itu adalah Pati, selebihnya mempunyai pas pekerjaan sah.

Pada tahun ini, JIM menjalankan operasi pada empat perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Thaipusam, Hari Pekerja dan Wesak. Pada operasi ini, kami memeriksa 10,060 warga asing dan daripada jumlah itu, 2,457 adalah Pati dan mereka ditahan bagi tindakan selanjutnya. Pati ini pula kebanyakan yang dikenal pasti sudah tamat tempoh pas pekerjaan di mana kesalahannya di bawah Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen Malaysia 1956/63 (Pindaan 2002).

Kehadiran mereka menyebabkan penduduk tempatan berasa tidak selesa dan takut.

Tidak dinafikan ada dalam kalangan penduduk tempatan tidak selesa selain takut apabila memasuki pusat beli-belah yang dipenuhi warga asing dari sesetengah negara. Setiap kali musim perayaan, bukan hanya JIM yang membuat operasi dan pemantauan keselamatan.

Agensi keselamatan lain turut melakukan perkara sama terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mengetahui ramai warga asing akan berada di bandar pada musim perayaan.

Jadi, sebenarnya pemantauan keselamatan ini sentiasa dilakukan agensi keselamatan berkaitan.

Apakah tindakan JIM mengatasi lambakan warga asing di negara ini?

Kurang tepat dan sesuai mengistilahkan ramai warga asing sebagai lambakan.

Lambakan ini bermaksud seolah-olah ramai warga asing yang berada di negara ini tidak mempunyai pekerjaan dan tidak melakukan sebarang aktiviti.

Apa yang berlaku kini, Malaysia mempunyai pekerja berkemahiran rendah yang diberikan permit atau pas lanjutan kerja sementara (PLKS) iaitu seramai 2.1 juta orang.

Mereka yang memegang PLKS ini mempunyai pekerjaan, majikan dan bekerja dalam sektor yang dibenarkan.

Bagaimanapun, tidak dinafikan ada dalam kalangan mereka menyalahgunakan PLKS.

Contoh, mereka perlu bekerja di sektor perladangan tetapi sebaliknya bekerja di kedai runcit dan ia memang terjadi.

Oleh itu, JIM sentiasa menjalankan operasi yang mana gerakan ini dilakukan setiap hari oleh semua Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di seluruh negara.

Berdasarkan statistik tahun ini, bagi tempoh 1 Januari hingga Mei, kami sudah melaksanakan 7,710 operasi dengan lebih 1,000 operasi dilakukan pada setiap bulan.

Dalam operasi berkenaan, JIM memeriksa 96,738 warga asing dan menangkap 22,865 Pati. Ini bermakna hanya terdapat kira-kira 20 peratus Pati di negara ini.

JIM ingin memberitahu masyarakat bahawa bukan semua warga asing yang dilihat di tempat awam adalah Pati.

JIM juga sentiasa menerima aduan daripada orang awam yang dihantar menerusi e-mel atau aplikasi WhatsApp yang memaklumkan ada ramai Pati di lokasi tertentu. Bagaimanapun, apabila kami menghantar Unit Quick Response Team (QRT) iaitu pasukan menangani aduan dan membuat pemeriksaan, mereka mendapati ramai dalam kalangan warga asing ini mempunyai pas yang sah.

Adakah Malaysia perlu mencontohi negara maju dalam mengurus warga asing seperti Jepun dan Singapura?

Kita perlu faham, warga asing yang ramai di negara ini ialah mereka yang bekerja dalam sektor pekerjaan sukar, kotor dan berbahaya (3D).

Ini adalah sektor pekerjaan yang tidak diminati serta bukan menjadi pilihan rakyat tempatan. Di negara maju seperti Jepun dan Singapura, mungkin sektor ini dilakukan oleh rakyat negara itu sendiri dan terdapat perbezaan daripada segi sikap dengan rakyat di negara ini.

Di Jepun, rakyatnya cukup berbangga melaksanakan pelbagai pekerjaan tidak kira sama ada sektor 3D atau lain-lain.

Tetapi ia berbeza di negara ini yang mana pekerjaan ini diberikan kepada warga asing. Namun, kita boleh mencontohi negara itu daripada segi pengurusan. Sekiranya sikap rakyat negara ini tidak berubah, maka sukar untuk kita menangani isu kebanjiran warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 6:00 AM