NUR Amalina memeluk Islam pada 26 Februari lalu di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi
cnews@nstp.com.my

“WALAUPUN diceraikan suami selepas mengambil keputusan memeluk Islam, namun saya tidak menyesali tindakan itu kerana ketenangan yang diperoleh luar biasa,” kata Nur Amalina Ong Abdullah, 42.

Nur Amalina atau nama sebenarnya Ong Po Swan berkata, sudah 10 tahun dia memendam impian untuk memeluk Islam dan tanggal 26 Februari lalu, dia ditemani rakan baiknya pergi ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk melafazkan dua kalimah syahadah.

Katanya, dia bersyukur dan teruja kerana tahun ini buat pertama kalinya menjalani ibadat puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama rakan muslim yang lain.

“Lebih menggembirakan lagi, dua abang saya juga memeluk Islam sejak beberapa tahun lalu dan masing-masing sudah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hati mereka.

“Empat anak juga tinggal bersama dengan saya selepas berpisah dengan bekas suami sejak Mac lalu turut merayakan Aidilfitri walaupun kami berlainan agama,” katanya ketika ditemui di Galof Cafe di Tumpat.


SHAHRULEZAD yakin untuk mengangkat cerita Nur ke layar filem kerana ia sudah memiliki jenama dan pengikutnya sendiri. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Shahrulezad

Apabila ditanya mengenai minatnya terhadap Islam, Nur Amalina memberitahu ketika berada di Tahun Satu hingga Enam dia sanggup ponteng kelas Pendidikan Moral hanya semata-mata untuk mengikuti kelas Pendidikan Islam.

“Dalam kelas Pendidikan Islam, ustaz banyak mengajar mengenai kisah nabi dan ini secara tidak langsung membuatkan minat saya untuk lebih mengenali Islam semakin memuncak.

“Ketika tinggal di asrama semasa berada di Tingkatan Empat dan Lima, saya selalu mengikuti kawan menunaikan solat berjemaah di surau sekolah, namun hanya berada di bahagian belakang dan memerhati sahaja gerak-geri mereka,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, ketika di awal memeluk Islam, ibunya tidak bersetuju kerana bimbang tidak ada orang akan menjaganya memandangkan hanya dia satu-satunya anak perempuan.

“Namun, saya cuba membuat ibu faham dan memberitahu akan menjaganya sampai bila-bila walaupun kami berlainan agama. Alhamdulillah kini ibu dan ayah dapat menerima kenyataan yang saya sudah beragama Islam.

“Bagi memantapkan tahap pengetahuan dalam bidang agama, saya mengikuti kelas agama di Masjid Muhammadi seminggu sekali selain tunjuk ajar daripada rakan,” katanya.


ADAM Mufid Chew. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Sementara itu, Adam Mufid Chew Abdullah, 27, berkata, selepas lebih empat tahun memeluk Islam jiwanya berasa sangat tenang.

Adam Mufid atau nama sebenarnya, Chew Wei Ming berkata, setiap kali Aidilfitri, dia akan menyambut di Pondok Lubok Setol, Rantau Panjang bersama tenaga pengajar dan penghuni yang tidak pulang berhari raya dan mereka akan memasak secara bergotong-royong.

Menceritakan kisah hidupnya, Adam Mufid berkata, sebelum memeluk Islam dia melihat sebuah masjid yang tersergam indah tiba-tiba muncul dalam mimpinya dan bagi mencari jawapan dia sanggup ke Pondok Lubok Setol untuk berjumpa ustaz selepas mencarinya dalam internet serta bertanya rakan yang lain.

“Selepas dua minggu tinggal dan belajar mengenai Islam di pondok itu, saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam tanpa pengetahuan ibu.

“Hampir setahun saya sembunyikan perkara ini daripada pengetahuan ibu sehingga menerima sepucuk surat pertukaran kad pengenalan baharu yang diposkan ke rumah.

“Ketika itu, saya belajar di pondok dan ibu bertanyakan kepada saya mengenai surat itu. Saya terpaksa berterus terang yang saya sudah memeluk Islam dan awalnya ibu sukar menerima, namun lama kelamaan ibu terbuka hati menerima agama baharu saya anuti,” katanya yang tinggal di Temerloh, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 10:14 AM