RAHIMI menunjukkan barangan keperluan yang dibeli untuk Aidilfitri.
Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


MANGSA tembakan di masjid Christchurch, New Zealand tetap menunaikan solat sunat Aidilfitri di sebuah dewan serba guna walaupun tragedi meragut 50 nyawa itu masih terbayang di ruang mata.

Rahimi Ahmad, 39, berkata, dia perlu meneruskan kehidupan dan tidak mengingati tragedi itu lagi demi isteri dan anak tercinta.

“Memang sukar untuk lupa, namun saya perlu teruskan hidup seperti biasa. Jika terus dibayangi tragedi itu mungkin akan menyukarkan kehidupan kami di perantauan.

“Alhamdulillah saya mempunyai keluarga yang sentiasa memberikan sokongan. Malah, saya perlu kuat kerana anak lelaki saya turut melalui pengalaman yang sama.

“Jika saya tidak kuat mungkin ia akan mempengaruhi anak lelaki saya untuk mengingati kembali tragedi hitam itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, umat Islam di Christchurch kebiasaannya akan solat sunat Aidilfitri di dua tempat iaitu Horncastle Arena dan Stadium Pioneer.

“Saya jangka kemungkinan pada hari itu kawalan keselamatan akan diperketatkan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian sama berulang lagi,” katanya.

Menceritakan mengenai persiapan raya, Rahimi berkata, dia yang baru keluar daripada Hospital Burwood, New Zealand, Rabu minggu lalu sempat membeli beberapa barangan untuk hidangan Aidilfitri.

“Kami berhajat membuat ketupat, kuah kacang dan nasi tomato supaya anak tetap merasai suasana raya walaupun berada di perantauan, semoga Allah SWT mempermudahkan urusan kami di sini,” katanya.

Rahimi berkata, dia tidak dapat pulang ke Malaysia untuk berhari raya berikutan mempunyai rawatan susulan kecederaan saraf yang memerlukannya ke hospital sebulan sekali.

“Memang saya merindui Malaysia terutama ibu, Rokiah Mohamad namun biarlah saya menerima rawatan sempurna di sini terlebih dulu kerana ketika ini saya masih memakai walking frame dan berkerusi roda.

“Malah, saya juga sudah menerima kad orang kurang upaya (OKU) di sini, harapan saya semua rakyat Malaysia dapat mendoakan kesihatan saya dan dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Kaki kanan jurutera robotik berusia 39 tahun itu terjejas selepas terkena tembakan dalam tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch dan berada di wad lebih dua bulan di dua hospital di Christchurch.

Rahimi antara tiga rakyat Malaysia yang cedera dalam tragedi tembakan pada 15 Mac lalu.

Serangan di dua masjid pada jam 1.40 tengah hari (waktu New Zealand) itu mengorbankan 50 individu, termasuk seorang remaja rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, serta mencederakan puluhan yang lain.

Muhammad Haziq adalah anak Mohd Tarmizi dari Alor Setar, Kedah yang turut cedera dalam insiden berkenaan bersama seorang lagi rakan senegara, Mohd Nazri Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 6:10 AM