Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


MAHU mengembalikan kegemilangan dan mengangkat jati diri Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengajak orang ramai mengenakan pakaian tradisi Melayu ketika meraikan Aidilfitri ini.

Pengarah Atma UKM, Prof Dr Supyan Hussin berkata, Kempen Semarakkan Busana Melayu di hari raya Aidilfitri itu akan dijalankan serentak seluruh negara dengan kerjasama 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hari ini.

“Atma dengan tindakan bersepadu persatuan silat, seni dan budaya di Malaysia akan mulakan kempen menyemarakkan busana Melayu sempena Aidilfitri ini melalui laman sesawang dan saluran media sosial masing-masing bermula esok (hari ini).

“NGO ini juga bersetuju mengajak ahli mereka memakai busana Melayu pada hari pertama dan kedua Aidilfitri ketika solat sunat Aidilfitri, mahupun menziarahi sanak-saudara.

“Kita juga menggalakkan orang ramai menyokong kempen ini bukan sahaja mengenakan busana Melayu pada hari pertama dan kedua Aidilfitri ini, tetapi termasuk sepanjang menghadiri mana-mana hari terbuka Aidilfitri nanti,” katanya.

Menurutnya, konsep pemakaian busana Melayu yang dicadangkan tidak terhad dan tidak melangkau peredaran zaman.

“Busana Melayu kebangsaan adalah baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok manakala busana Melayu pula, lelaki pada zaman lampau mengenakan samping yang diikat secara berbeza daripada kebiasaan.

“Lebih manis lagi mereka juga memakai bengkung sekeliling pinggang, bertanjak dan bercapal.

“Bagi wanita Melayu pula, kita galakkan memakai baju kurung, kebaya dan kebarung dengan kerongsang atau aksesori lain,” katanya.

Katanya, idea itu tercetus susulan sambutan orang ramai yang mengenakan busana Melayu ketika menghadiri beberapa program seni, budaya dan warisan anjuran Atma sebelum ini.

“Kita tengok ramai orang masih pakai busana Melayu, jadi kenapa tidak pakaian ini kita angkat sempena meraikan Aidilfitri.

“Bayangkan kalau hari raya ramai orang berbusana Melayu tentu nampak keunikan dan terserlah jati diri dan identiti masyarakat Melayu, baru nampak keindahan dan kemeriahan suasana hari raya,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan walaupun sebelum ini terdapat segelintir pihak berusaha memakai busana ini pada Aidilfitri, ia hanya dilakukan dalam skala kecil dan terpencil saja.

“Jadi, tujuan utama kita menganjurkan kempen ini supaya memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya generasi muda mengenai bentuk rupa busana Melayu yang menjadi budaya dan warisan Melayu,” katanya,” katanya.

“Pada masa sama, kita mahu melahirkan semula kesegaran busana Melayu pada hari besar perayaan di Malaysia supaya tidak pupus dan ditelan zaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 6:10 AM