Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

“SAYA reda jika Allah ambil nyawanya kerana tidak tahan lagi melihat penderitaannya.

“Tetapi selagi hayatnya masih ada, kami tetap tidak putus asa berikhtiar selain masih mengharapkan keajaiban berlaku,” kata Safia Nasir.

Safia, 34, adalah ibu kepada Nur Syifaa Auni, bayi berusia 13 bulan yang menghidap Hydrocephalus atau penyakit lebihan cecair dalam kepala sejak lahir yang menyebabkannya terlantar sepanjang masa selain hanya bergantung kepada susu yang diberikan melalui tiub.

Menurut Safia, mereka mengetahui anak perempuan tunggalnya itu disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak dalam kandungan berusia tiga bulan lagi.

“Ketika jantina bayi disahkan perempuan, kami sangat teruja dan gembira kerana memang kepingin lama anak perempuan berikutan sudah ada tiga anak lelaki.

“Tetapi apabila doktor kata anak kami ada penyakit ini, dunia saya seolah-olah gelap. Rasa macam tak percaya apa doktor kata,” katanya.

Sementara itu, suaminya Yaakob Abd Rahim, 40, berkata, kepala anak keempat daripada lima beradik itu semakin membesar setiap hari.

“Dia dilahirkan secara pembedahan dengan berat 3.6 kilogram (kg) dan lilitan kepala 42 sentimeter (sm) kini, saiz kepalanya semakin membesar kepada 83sm dengan berat mencecah lebih 15kg.

“Anak kami sepatutnya menjalani pembedahan pada 25 Februari lalu, namun Hospital Kuala Lumpur (HKL) menarik diri saat akhir kerana peluang tipis selain risiko tinggi menanti termasuk risiko bius dan jangkitan kuman.

“Jika pembedahan berjaya sekalipun anak kami mungkin hanya mampu bertahan dua atau tiga tahun saja lagi,” katanya.

Katanya, tumbesaran anaknya juga terbantut selain mengalami sumbing, ketiadaan bebola mata serta pendengaran kurang daripada 70 peratus serta kekejangan kaki dan tangan.

“Masalah utamanya, kepala anak saya luka melecet akibat alahan daripada bantal. Sebelum ke tempat kerja, saya akan cuci luka kepalanya serta menukar posisi kepalanya.

“Doktor menyarankan posisi kepalanya perlu ditukar setiap dua jam sekali, namun saya hanya mampu lakukan pagi dan sebelah malam selepas balik kerja kerana isteri terpaksa menguruskan empat anak lain,” katanya.

Penjawat awam itu berkata, mereka masih mahu berikhtiar kerana tidak sanggup melihat penderitaan anak mereka di depan mata setiap hari.

“Bapa mana sanggup biarkan anaknya macam itu setiap hari, jadi selagi ada jalan kami akan ikhtiar sekurang-kurangnya untuk menghentikan pembesaran saiz kepalanya.

“Kami tidak tahu hendak rujuk mana lagi; oleh itu kami harapkan mana-mana pakar perubatan tidak kira dalam atau luar negara tampil memberikan idea atau apa-apa penyelesaian terbaik untuk anak kami setidak tidaknya buat sesuatu untuk mengurangkan pembesaran kepalanya.

“Selain itu, kami juga perlukan tenaga pakar untuk menjaga dan merawat luka kepala anak kami bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Ditanya mengenai kecaman netizen mengenai kelewatan rawatan, Yaakob menjelaskan, keadaan kesihatan anaknya tidak stabil.

“Semua ini salah faham saja, bapa mana yang sanggup biarkan anak dia teruk jadi macam ini?

“Untuk dapatkan perincian penyakit anak saya ini, Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) perlu dilakukan, tetapi ujian ini terpaksa ditangguh tiga kali kerana anak saya tidak stabil selain kerap demam dan batuk.

“Kali keempat pada Januari lalu barulah ujian MRI berjaya dilakukan sebelum keputusan itu dirujuk ke Jabatan Pembedahan Neuro, HKL,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 5:38 PM
SAFIA (kanan) bersama Yaakob (kiri) melihat keadaan anaknya, Nur Shiffa ketika ditemui di Puchong. FOTO Azhar Ramli