MUHAMMAD Adam Iskandar, anak Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail yang maut dirempuh sebuah motosikal. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“ADAM tengok ayah, lepas ini Adam tak dapat tengok lagi. Ayah jangan mati,” itu kata-kata Muhammad Adam Iskandar, 7, anak sulung Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, 27, anggota polis yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Persisiran Perling arah Iskandar Puteri, semalam.

Kanak-kanak itu berkata demikian ketika mengucup dan menatap wajah arwah bapanya buat kali terakhir ketika di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, semalam.

Jenazah Mohd Ishraf dibawa ke Surau Taman Melor untuk disembahyangkan selepas selesai dibedah siasat pada jam 2 petang.

Kemudian jenazah Mohd Ishraf yang bertugas di Balai Polis Tampoi dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Paya Tok Teh, Malau Jitra, Kedah untuk dikebumikan.

Suasana penuh emosi dapat dilihat di ruang menunggu Jabatan Forensik HSA ketika isteri arwah Mohd Ishraf, Nor Adeela Mad Hashim, 26, bersama anak sulung dan bongsu Muhammad Ishabil, 3, menunggu untuk menuntut jenazahnya.

Nor Adeela berkata, antara pesanan terakhir arwah sebelum meninggal dunia dalam kemalangan itu adalah agar menunggunya untuk bersama-sama pulang ke kampung.

Katanya, mengikut perancangan mereka empat beranak sepatutnya pulang ke Alor Setar, Kedah petang semalam selepas arwah suaminya tamat bertugas.


NOR Adeela (tengah) bersama dua anak ditenangkan rakan yang datang menziarah di pekarangan Unit Forensik HSA.

Wanita itu berkata, arwah Mohd Ishraf bertugas melakukan rondaan bermula jam 11.30 malam kelmarin dan sepatutnya tamat pada 8 pagi semalam.

Katanya, perancangan itu terbantut selepas suaminya yang bertugas di Balai Polis Tampoi terkorban ketika menjalankan tugas akibat dirempuh sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki.

Dia memberitahu, arwah suaminya dilihat sangat teruja untuk pulang berhari raya memandangkan baru kali pertama dapat menyambut 1 Syawal bersama keluarganya di kampung selepas lima tahun bertugas di Johor.

“Arwah suami sangat bersungguh-sungguh untuk beraya di kampung tahun ini, apatah lagi sudah lima tahun kami tidak pulang beraya.

“Arwah sudah siap membeli kelengkapan kami sekeluarga ketika memperoleh gaji pada 23 Mei lalu,” katanya ditemui.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu suaminya i pada jam 3 pagi semalam ketika arwah pulang menghantar dua bungkus nasi lemak untuk bersahur.

“Kebetulan pagi tadi (semalam) saya teringin makan nasi lemak dan arwah belikan makanan itu untuk saya jamah ketika bersahur.

“Saya tahu mengenai kemalangan menimpa suami daripada rakan setugas arwah. Ketika itu saya belum tahu keadaan sebenar arwah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 6:20 AM