PEMAIN TCFC hanya terima harapan palsu sebelum raya.
Firdaus Hashim dan Syazwan Msar
am@hmetro.com.my


“Terengganu City FC (TCFC) dah tutup, jadi PBSNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) kenalah bantu selesaikan masalah tunggakan gaji kami kerana TCFC adalah ahli gabungan mereka.

“Dah hampir setahun masalah ini tak selesai dan minggu depan dah nak raya, kami perlu pakai duit.”

Itu rintihan bekas Ketua Jurulatih TCFC, Mohd Noor Derus yang meminta agar PBSNT segera campur tangan bagi menyelesaikan tunggakan gaji pasukannya sejak musim lalu itu.

Katanya, keputusan Jawatankuasa Statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengarahkan pengurusan TCFC melangsaikan hutang berjumlah RM411,900 kepada 21 pemain agak mengelirukan kerana kelab berkenaan sudah lama berkubur gara-gara masalah kewangan.

Justeru, beliau melihat tanggungjawab itu harus dipikul oleh PBSNT memandangkan kelab berkenaan adalah di bawah naungan persatuan bola sepak negeri.

“Memang rumit nak selesaikan isu gaji tertunggak lebih-lebih lagi apabila kelab berkenaan sudah tak ada atau dibubarkan. Isunya siapa yang nak bertanggungjawab bayar hutang gaji kami?

“Pada saya, PBSNT adalah pihak yang tepat untuk membantu menyelesaikan perkara ini kerana TCFC beraksi di Liga FAM mewakili PBSNT. Jadi, merekalah kena selesaikan masalah ini dan bantu kami yang rata-ratanya juga adalah anak jati Terengganu.

“Jika PBSNT juga tidak mahu membantu, saya rasa keputusan FAM tempoh hari hanya sia-sia dan tidak membawa apa-apa makna seolah-olah ia hanya sekadar mahu melepaskan batuk di tangga, menunjukkan mereka buat kerja,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, akhbar melaporkan 21 pemain TCFC gembira apabila Jawatankuasa Statut FAM menuntut kelab itu supaya melunaskan tunggakan gaji keseluruhan berjumlah RM411,900.

Menerusi mesyuarat jawatankuasa ke-11 yang berlangsung Khamis lalu menyaksikan Terengganu City didapati bersalah kerana gagal menjelaskan tunggakan gaji pemain musim lalu dan diarahkan untuk membuat bayaran dalam kadar segera.

Mohd Noor berkata, kejayaan menjulang Liga FAM pada penghujung tahun lalu itu seharusnya dihargai terutama oleh PBSNT kerana pasukannya berjaya mengharumkan nama negeri.

“Kalau JDT muncul juara liga ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana pengurusan mereka membayar gaji mengikut masa dan tempoh.

“Tetapi macam kami, tak dapat gaji sejak pertengahan musim tapi pemain tetap kekal bermotivasi dan semangat untuk berjuang hingga muncul juara di penghujung musim.

“Saya ingat kalau orang lain mungkin takkan bermain bersungguh-sungguh sebab gaji tak ada, tetapi pemain kami tetap berikan yang terbaik demi menjaga nama Terengganu.

“Saya harap PBSNT dapat bantu sekali gus meringankan beban pemain yang bersiap menyambut Hari Raya, minggu depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 6:05 AM