RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


PENUNGGANG motosikal yang bertindak samseng dengan menghentak cermin sebuah kereta dicekup polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Asmadi Borhan berkata, lelaki berusia 30-an terbabit ditangkap oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, pada jam 3 petang.

“Siasatan mendapati suspek bekerja sebagai pembantu stor kilang di Balakong.

“Polis turut merampas sebuah motosikal dan topi keledar yang disyaki digunakan semasa kejadian.

“Perintah reman akan dipohon mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Petaling Jaya dan siasatan lanjut kini sedang diteruskan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan, seorang penunggang motosikal bertindak samseng dengan menghentak cermin sebuah kereta sehingga retak kerana dikatakan tidak berpuas hati apabila pemandunya membunyikan hon di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang jam 5.30 petang kelmarin.

Tindakan samseng penunggang motosikal itu dirakam pemandu kereta berkenaan menggunakan kamera ‘dashcam’ dan rakaman video terbabit tular di Facebook sejak semalam.

Berita berkaitan

Polis sedang cari [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:45 PM