TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Siti Nur Mas Erah Amran
am@hmetro.com.my


WARDEN asrama dihukum penjara 133 tahun dan 42 sebatan di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini atas kesalahan meliwat lima pelajar dan melakukan amang seksual di sebuah pusat tahfiz dekat Kangar, bulan lalu.

Nawawi Anuar, 27, mengaku bersalah terhadap 26 daripada 29 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Tertuduh didakwa meliwat lima pelajar yang berusia antara sembilan sehingga 15 tahun di pusat tahfiz berkenaan, sepanjang April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan dua kes liwat dan satu kes memaparkan video lucah melalui telefon bimbit terhadap seorang mangsa yang berusia 11 tahun.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, Norshuhada Mohd Yatim dan Mohd Farhan Aliff Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Hapiz Rajali.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (KK), 377C KK serta Seksyen 15(e) dan 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 selain Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

Mahkamah menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 5:09 PM