Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


KEUNIKAN Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang Selangor bukan saja terletak pada rekaan seni binanya, tetapi istimewanya Sultan Ala’eddin Suleiman Shah terbabit secara langsung dalam sejarah penentuan arah kiblat rumah ibadat itu.

Untuk rekod, kebanyakan masjid yang dibina ketika zaman penjajahan British terpaksa diubah kedudukan kiblatnya kerana berbeza ukurannya dengan kaedah diguna pakai ahli falak di Jabatan Mufti hari ini.

Namun, berbeza dengan Masjid Diraja Sultan Suleiman, ketepatan kedudukan arah kiblatnya tidak dapat disangkal dan diperakui Bahagian Falak, Jabatan Mufti Selangor selepas membuat semakan semula sebelum mengesahkan arah kiblat masjid berusia 87 tahun itu tidak perlu diubah.

Berdasarkan sejarah, Penyelidik Sejarah Selangor, Faisal Surani berkata, sebelum pembinaan cerucuk masjid dimulakan, satu majlis istiadat pecah tanah, penentuan kiblat dan doa selamat diadakan pada awal 1932 sebelum diserahkan kepada baginda, Jun 1933.

“Istiadat ini turut dihadiri Raja Muda Tengku Musa’eddin, Syeikhul Islam Selangor, Tengku Mahmud Zohdi Al-Fathani, ulama dan pakar ilmu falak, Kiai Haji Muhammad Ali Qaribun (pengasas awal sistem pendidikan pondok di Selangor pada 1917), Dato’ Kaya Abdul Hamid Dato’ Kaya Baduk, Pawang Diraja Haji Shawal Haji Jamal, Kadi Besar Selangor, Raja Haji Othman serta beberapa kerabat diraja, pembesar istana dan penghulu.

“Turut hadir pada hari bersejarah itu ialah orang kuat di sebalik pembinaan masjid ini iaitu Penolong Arkitek Kanan Selangor Leofric Kesteven, jurutera pakar konkrit bertetulang John Thomas Chester, Jurutera Negeri Selangor dan beberapa pegawai British lain,” katanya.

Katanya, penetapan arah kiblat masjid itu menggunakan kaedah Istiwa A’dzham (fenomena matahari berada di atas Kaabah) disaksikan dan diperkenankan sendiri Sultan Ala’eddin Suleiman Shah.

“Mengikut cerita keluarga Pawang Diraja Haji Shawal, Sultan Ala’eddin Suleiman Shah mempelajari ilmu falak tentang penentuan arah kiblat dengan seorang ulama, Kiai Haji Muhamad Ali Qaribun Sijangkang, iaitu sahabat kepada Tengku Mahmud Zohdi Al-Fathani yang mahir menggunakan ilmu falak dalam penentuan arah kiblat dan waktu solat.

“Kaedah ilmu Istiwa A’dzham digunakan dalam menentukan arah kiblat masjid itu apabila berlaku fenomena ini, nilai sudut istiwa matahari sama dengan nilai latitud Makkah di mana Kaabah terletak. Ketika itu, Sultan Ala’eddin Suleiman Shah berkenan tongkatnya digunakan sebagai alat untuk menentukan arah kiblat.

“Baginda memacak tongkatnya di atas tanah dan berdasarkan bayang matahari tongkat berkenaan, Kiai Haji Muhammad Ali Qaribun dengan kemahiran ilmu falaknya dapat menentukan arah kiblat masjid itu,” katanya.

Katanya, kedudukan arah kiblat masjid itu disemak oleh beberapa juruukur British dan disahkan tepat dan betul oleh pegawai pejabat agama Islam.

“Jika berdasarkan tarikh mula kerja pembinaan masjid pada Mac 1932 dan menggunakan kaedah Istiwa A’dzham, kemungkinan tarikh penentuan arah kiblat masjid ini dilakukan pada Jumaat, 27 Mei 1932 kerana tahun itu tahun lompat.

“Jadi, mengikut kaedah ini, matahari akan melalui di atas Kaabah dan berada pada kedudukan istiwa dua kali setahun iaitu pada 28 Mei (jam 5.16 petang) dan 16 Julai (jam 5.28 petang) pada tahun biasa dan kurang sehari pada tahun lompat iaitu pada 27 Mei dan 15 Julai,” katanya.

SEMAKAN arah kiblat harus berdasarkan bayang pada jam 5.16 petang (waktu tempatan) yang bersamaan jam 12.16 tengah hari di Masjidilharam. FOTO Eizairi Shamsudin

Istiwa Kaabah boleh disemak di mana saja

Umat Islam berpeluang menyemak dan menentukan arah kiblat walaupun berada di tempat lain di dunia berikutan fenomena Istiwa Kaabah atau Istiwa Adzam yang berlaku pada 5.16 petang (waktu tempatan) semalam.

Ketua Unit Kembara Angkasa, Persatuan Falak Syarie Malaysia (PFSM), Mohd Razlan Ahmad berkata, fenomena itu berlaku dua kali setahun dan bagi 2019, kejadiannya pada 28 Mei serta 16 Julai depan.

Beliau berkata, fenomena itu banyak memberi ilmu pengetahuan, khususnya dalam bidang falak dalam menentukan arah kiblat.

“Jika berada di Masjidilharam, Makkah, umat Islam akan lihat Kaabah serta apa saja yang berdiri tegak di persekitarannya seolah-olah tiada bayang dan fenomena ini berlaku sekitar jam 12.16 tengah hari.

“Fenomena Istiwa Kaabah menggambarkan kebesaran Allah. Kita tidak perlu menggunakan teknologi canggih untuk menentukan arah kiblat sebaliknya kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah.

“Cara menyemak kedudukan kiblat ketika fenomena berlaku adalah dengan menggunakan bayang tiang atau bangunan serta apa saja benda tegak 90 darjah sebagai panduan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohd Razlan berkata, apabila Istiwa Kaabah berlaku, bayang-bayang objek tegak menunjukkan arah ke Kaabah (kiblat).

“Misalnya, memacak kayu atau pancang di atas tanah yang tidak dilindungi sebarang pokok atau bangunan supaya bayang kayu itu dapat dilihat dengan jelas bagi melakukan semakan arah kiblat pada waktu tertentu.

“Bagi umat Islam di Malaysia semakan arah kiblat berkenaan haruslah berdasarkan bayang pada jam 5.16 petang (waktu tempatan) yang bersamaan jam 12.16 tengah hari di Masjidilharam.

“Fenomena ini ada baiknya kerana ia melatih orang awam berjinak-jinak dengan objek di langit dan tahu kebaikan dan peranan objek berkenaan dalam proses ibadah setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 6:00 AM