SYAFIQ Farhain. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


HASRAT menyambut Aidilfitri bersama bapa pada pagi 1 Syawal ini tidak kesampaian buat penyanyi Syafiq Farhain apabila insan kesayangannya yang juga bekas vokalis kumpulan Iklim, Saleem meninggal dunia pada 14 Oktober tahun lalu.

Meski sambutan tahun lalu, Syafiq, 25, atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim sempat menziarahi arwah bapanya pada raya kelima, dia belum puas.

Apatah lagi selepas belasan tahun tidak menyambut hari raya dengan bapa, Syafiq ingin menjadikan raya tahun ini sebagai memori terindah buatnya. Namun, Allah lebih menyayangi bapanya apabila dijemput menghadap-Nya.

“Saya sudah rancang yang raya tahun ini nak sambut dengan bapa. Apatah lagi saya pun sudah menetap di Kuala Lumpur. Sejak itu, memang menjadi impian beraya dengan arwah.

“Namun, perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Kiranya, kunjungan saya pada raya kelima tahun lalu menjadi memori terakhir raya kami bersama. Meski ketika itu arwah tidak sihat, kami ada berborak sedikit.

“Ketika itu arwah bertanya macam mana keadaan kami adik-beradik, sihat atau tak dan sambutan raya macam mana. Arwah juga tanya macam mana dengan kerja saya di tempat baharu. Paling tak boleh lupa, arwah pesan supaya datang selalu melawatnya di rumah,” kata Syafiq.

Diajak berkongsi mengenai sambutan lebaran dengan Saleem ketika hayatnya, Syafiq yang juga penyanyi lagu Sayang Maafkan Aku tidak mempunyai banyak kenangan bersama kerana ditinggalkan arwah sejak berusia lapan tahun.

“Kalau nak imbas memori raya bersama arwah ketika saya kecil, memang tidak ingat. Waktu kecil arwah memang sibuk dengan kerjaya. Ditambah pula, saya sudah tidak bersama arwah sejak umur lapan tahun.

“Sejak itu juga saya tidak merasai kasih sayang seorang bapa hingga dia meninggal dunia. Namun, seperkara yang saya ingat mengenai sikap arwah adalah dia suka bergurau dan gigit telinga saya.

“Selepas sekian lama iaitu ketika berumur 14 tahun, saya ada berjumpa arwah ketika dia membuat persembahan di Bukit Jalil. Namun, dia tidak perasan saya. Kali kedua berjumpa semula apabila abang sulung menghantar kad jemputan kahwin. Waktu itu baru saya bercerita kejadian yang dia tidak perasan kehadiran saya,” katanya.


ARWAH pesan supaya datang selalu melawatnya.

ALBUM DILUPUSKAN

Berkongsi mengenai kerjaya seni, Syafiq meluahkan rasa terkilan apabila album The Best of Saleem & Syafiq Farhain yang dilancarkan sebulan selepas arwah bapanya meninggal dunia terpaksa dihentikan penjualannya.

Album itu mengandungi tujuh lagu arwah Saleem dan empat lagu Syafiq termasuk single keempat yang dilancarkan baru-baru ini iaitu Demi Setia.

“Mungkin ramai tak tahu album kompilasi ini terpaksa diberhentikan penjualannya atas sebab tertentu. Album ini sempat berada di pasaran selama dua minggu saja. Saya malas nak panjangkan isu ini lagi. Saya anggap tidak ada rezeki.

“Memandangkan dalam album ini ada sebuah lagu baharu saya, jadi saya dan syarikat rakaman ambil keputusan melancarkan lagu ini di semua platform digital. Lagu ini berkonsepkan ketuhanan hasil ciptaan Isman Hijjaz,” katanya.

Selain itu, Syafiq juga muncul dengan single raya iaitu Aidilfitri Mulia yang sudah boleh didengar dan ditonton video muzik rasmi di saluran YouTube.

Sepanjang Ramadan ini, selain sibuk dengan kerja sebagai pegawai bomba di Putrajaya, Syafiq juga tidak menang tangan memenuhi jemputan majlis berbuka puasa dan menjayakan beberapa program.

"Memandangkan saya bertugas di ibu pejabat, jadi saya bekerja ikut waktu pejabat. Kalau ada persembahan atau program hanya hujung minggu atau selepas waktu bekerja.

“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar dan tidak mengganggu kerja pun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 6:00 AM