Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


PEMAKAIAN tanjak antara warisan jati diri masyarakat Melayu yang semakin hilang dan luput ditelan zaman hingga generasi muda masa kini kurang mengenali atau malu untuk memakainya di khalayak ramai.

Kemodenan negara turut mempengaruhi budaya dan cara hidup masyarakat apabila lelaki lebih selesa dengan kemeja-T, seluar denim dan bertopi.

Kini pakaian tradisional Melayu lelaki hanya banyak diperagakan ketika majlis perkahwinan.

Jarang dilihat dalam kalangan pemuda hari ini yang masih berminat mendalami pakaian tradisional Melayu lebih-lebih lagi mereka yang sudah memiliki kerjaya profesional.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini trend anak muda mengenakan tanjak bersama pakaian harian lain dilihat mampu memartabatkan zaman kegemilangan Melayu.

Pengasas Akademik Seni Tradisional Warisan Melayu Dr Johan lskandar Abdul Karim berkata, tanjak yang bermaksud tanah yang dipijak ialah hiasan kepala menggunakan bahan daripada kain dan wajib mempunyai bahagian simpul, tapak, bengkung dan karangan.

“Bentuk kainnya wajib empat segi yang dilipat menjadi tiga segi sebagai simbol gunungan. Tanjak hanya dipakai oleh lelaki dan disebut tengkolok atau destar.


DR Johan melihat koleksi tengkolok dan tanjak di Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu di Subang Bestari, Shah Alam. FOTO Syarafiq Abd Samad dan Luqman Hakim Zubir

“Dalam pembelajaran membuat tanjak secara tradisional iaitu berguru dengan cara adat, guru pasti akan mengajar dan menerangkan konsep alif, ba, ta yang bermaksud simbol agama Islam, bangsa Melayu dan tanah orang Melayu,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, seseorang tidak boleh menganggap tanjak hanya sekadar perhiasan atau fesyen semata-mata terutama di zaman moden ini.

“Kita juga tidak boleh menghina pemakai tanjak kerana ibarat menghina pemakai yang mengaku tanah Melayu ini adalah asal usul orang Melayu,” katanya.

Johan berkata, trend pemakaian tanjak dalam kalangan anak muda sekarang dilihat satu perkembangan positif dan mengembalikan semula martabat Melayu.

“Namun, harus diingat, tanjak bermaksud tanah yang dipijak dan apabila kita memakai tanjak itu bermaksud tanah yang dipijak ini asal-usul orang Melayu.

“Cuma kena berhati-hati sebab takut melanggar adat, pemakaian tanjak ada adat dan adab tersendiri dan kita tidak boleh membuta tuli.

“Tanjak ini ada adat warisan sendiri iaitu merekodkan dan menyimpan cara hidup orang zaman dulu,” katanya.

Contohnya, cara pemakaian kena ikut adab seperti simpul depan hanya dipakai untuk panglipurlara, penyair atau penghibur.

“Jika bukan tiga golongan ini memakai, ia dikira agak biadab kalau jumpa guru, pemimpin atau ketua sedang bercakap,” katanya.


KOLEKSI tanjak dijual Herin bermula pada harga RM75 hingga RM150. FOTO Syarafiq Abd Samad dan Luqman Hakim Zubir

Anak muda moden mula buka mata

Jika dulu tanjak hanya dipakai untuk majlis perkahwinan atau upacara silat namun kini jangan pelik sekiranya terjumpa ramai anak muda mula mengenakan tanjak dengan kemeja-T atau seluar jean.

Ini kerana trend pemakaian tanjak menggantikan topi mula menjadi ikutan anak muda yang mula berbangga mengenakan busana tradisional Melayu itu.

Bagi pembuat tanjak Mohd Herin Mansor, 39, dia cukup lega kerana tanjak buatannya kini sudah mendapat tempat di hati pengguna yang mahu mengenakannya untuk aktiviti harian.

“Minat yang mendalam mengenai tanjak menjadikan ia satu perniagaan untuk dikembangkan yang saya usahakan bersama tiga beradik lain.

“Dengan membuat pelbagai jenis tanjak, kini saya mula mengembangkan perniagaan dengan menjual persalinan lengkap busana Melayu,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya memakai tanjak di tempat awam dianggap pelik kerana kelihatan seperti panglima atau pembesar masyarakat Melayu dulu kala.

“Tapi saya mahu masyarakat Melayu mengangkat tanjak yang menjadi kebanggaan orang Melayu sebagai fesyen menggantikan topi supaya warisan ini tidak hilang ditelan zaman.

“Saya juga memakai pakaian tradisional warisan Melayu ini termasuk tanjak sebagai sebahagian pakaian ketika melakukan rutin harian,” katanya.

Katanya, tanjak dihasilkannya dijual pada harga RM75 hingga RM150 bergantung kepada jenis kain dan jika menggunakan songket, kosnya akan meningkat.


PELANGGAN cuba mengenakan tanjak. FOTO Syarafiq Abd Samad dan Luqman Hakim Zubir

Mohd Herin berkata, pakaian tradisional Melayu sebenarnya bukan saja memiliki keunikan yang tersendiri malah patuh syariah.

“Kita patut berbangga dengan fesyen orang zaman dulu yang bukan saja kelihatan sopan malah sesuai untuk digayakan ke mana-mana saja.

“Gaya pemakaian orang Melayu dulu amat berbeza dengan gaya fesyen kini yang diubah-ubah sehingga hilang identiti yang sepatutnya kita pertahankan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Hatta Mansor, 30, berkata, minat terhadap tanjak mendorongnya mempelajari cara membuat tanjak serta menggayakannya dengan kaedah yang betul.

“Keunikan tanjak yang kebiasaannya dipakai oleh golongan pembesar masyarakat dulu membuatkan saya berminat memakainya.

“Namun saya tahu, saya tidak boleh memakai tanjak sebarangan kerana ada adab yang perlu diikut, berikutan itu saya belajar mengenai kaedah simpul, jahitan dan kain digunakan bagi membuat tanjak. Syukur kini saya boleh menghasilkan pelbagai jenis tanjak berkualiti,” katanya.

Menurutnya, sebagai generasi muda, dia tidak malu untuk mengenakan tanjak secara harian demi menjaga asal-usul seni warisan tradisional masyarakat Melayu.

“Tanjak yang asli asasnya perlu ada simpul, tapak dan gubahan atau karangan. Setiap jenis simpul digunakan itu menunjukkan dari mana si pemakainya berasal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 6:00 AM
PEMAKAIAN destar ada pantang-larang tersendiri ikut adat resam Melayu. FOTO Syarafiq Abd Samad dan Luqman Hakim Zubir