PASUKAN bertanding dapat hak penyiaran selepas MFL ambil alih daripada FAM. FOTO Ghazali Kori
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


WALAUPUN ada segelintir pihak yang mendakwa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) gagal membawa sebarang perubahan terhadap landskap bola sepak negara namun bagi bekas jurulatih Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah, badan pengurus liga itu berjaya mengangkat kualiti sukan nombor satu itu ke satu tahap lebih baik.

Azraai yang kini bertugas sebagai jurulatih skuad Piala Presiden Kedah, mendedahkan MFL juga berjaya membawa liga Malaysia lebih berdaya saing selaras peredaran zaman bola sepak moden.

Beliau berkata, kejayaan pasukan tempatan meraih hak penyiaran adalah antara pencapaian besar MFL dalam mengangkat imej baik Liga Malaysia.

“Dalam kebanyakan organisasi di dunia, (perbandingan) kebaikan dan kelemahan adalah satu perkara tidak dapat dielakkan. Ia adalah lumrah semula jadi apabila ada seseorang cuba memberikan perbandingan.

“Namun jika ada seseorang mengatakan tiada langsung perubahan bagus kepada Liga Malaysia selepas MFL mengambil alih, saya memberikan nada sebaliknya kerana saya melihat banyak kebaikan yang berlaku.

“Antara kebaikan atau perkembangan positif itu adalah insentif hak penyiaran diberikan kepada pasukan bertanding. Saya masih ingat lagi Allahyarham Datuk Ahmad Basri sentiasa menuntut hak penyiaran pasukan ketika berada dalam sistem bola sepak negara,” katanya ketika mengulas pandangan Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Dr Zulakbal Abd Karim yang meragui reputasi MFL dalam menguruskan Liga Malaysia.

Dr Zulakbal dalam satu kenyataan berkata, kemampuan MFL dalam menguruskan Liga Malaysia amat diragui walaupun sudah empat tahun mentadbir liga tempatan.

Dalam perkembangan sama, Azraai berharap semua pihak saling bekerjasama membantu MFL mengatasi sebarang kelemahan dalam usaha menjadikan Liga Malaysia lebih dikenali dan mendapat nama di pentas antarabangsa.

“Masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Cuma nasihat saya MFL harus lebih tegas dan konsisten dalam setiap kali melakukan keputusan atau sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 5:30 AM